arena

Southgate tak minat jawatan United

Oleh AFP

LONDON: Gareth Southgate menegaskan tugasnya sebagai pengurus England belum selesai ketika beliau membayangkan tidak berminat mengambil alih jawatan di Manchester United dalam masa terdekat.

Laporan terbaru akhbar Britain, Sunday Telegraph menyebut Southgate berada dalam senarai dikehendaki di Old Trafford ketika mereka mencari pengganti tetap kepada Jose Mourinho yang dipecat.

Namun dengan Ole Gunnar Solskjaer, pengurus sementara, menang tujuh aksi pertamanya bersama United, Red Devils mungkin sudah menjadikan bekas penyerang itu sebagai pengganti.

Lagipun Southgate, yang mengemudi England ke separuh akhir Piala Dunia di Russia buat kali pertama sejak 1990, dan sejak itu membimbing mereka ke pusingan akhir Liga Negara Eropah, mempunyai tugas yang belum selesai bersama Three Lions.

Bekas pertahanan tengah England itu menjelaskan apabila ditanya ketika makan malam Persatuan Penulis Bola sepak di London semalam, jika beliau berasa belum memenuhi tugas bersama England.

“Saya pengurus England dan ia satu keistimewaan memegang jawatan itu,” katanya kepada Sky Sports.

“Prestasi kami terbaik dalam tempoh 28 tahun dan kami ke separuh akhir pada musim panas ini serta Kejohanan Eropah di Wembley, sekiranya kami layak.

“Jadi ia satu masa yang amat menarik bersama pasukan. Saya tidak fikir kami sudah mencapai tahap terbaik. Saya fikir masih ada ruang buat kami untuk meningkat.”

Pengendali berusia 48 tahun itu berkata: “Saya masih seorang jurulatih muda. Saya mengurus kurang daripada 200 perlawanan, jadi bagi saya ia satu penghormatan untuk memegang peranan ini dan saya seronok dengannya.”

Disiarkan pada: January 21, 2019 @ 12:42pm
d