arena

Elina berpeluh singkir Madison

Oleh AFP

MELBOURNE: Pilihan keenam Elina Svitolina bergelut sebelum mengatasi pilihan ke-17 dari Amerika Syarikat, Madison Keys dalam tiga set untuk layak ke suku akhir Terbuka Australia buat kali kedua berturut-turut, hari ini.

Pemain Ukraine berusia 24 tahun itu menang 6-2, 1-6, 6-1 untuk menempah pertemuan dengan pilihan keempat Naomi Osaka dari Jepun yang menundukkan pilihan ke-13 dari Latvia, Anastasija Sevastova 4-6, 6-3, 6-4.

Keys, naib juara Terbuka AS 2017, bermula lembap namun bangkit untuk memenangi set kedua dan menekan Svitolina pada awal set ketiga.

Detik penentuan hadir menerusi maraton 16 minit pada awal set penentuan yang terikat dengan dius sebanyak 11 kali ketika Keys cuba melakukan ‘break’ penting.

“Saya terpaksa meningkatkan tahap permainan, saya bangga mampu menangani tekanan,” kata Svitolina, yang mencatat kemenangan terbesar karier apabila memenangi Pusingan Akhir WTA di Singapura, Oktober lalu.

“Ia amat sukar kerana sinar matahari mengganggu saya ketika mahu melakukan servis, jadi saya amat gembira kerana menang.”

Svitolina layak ke suku akhir di Melbourne Park tahun lalu selain suku akhir di Roland Garros sebanyak dua kali namun belum pernah mara ke separuh akhir acara Grand Slam.

Dia menetapkan sasaran tinggi tahun ini selepas kejayaan di Singapura, mengintai peluang memenangi acara Grand Slam selain status pemain nombor satu dunia.

Disiarkan pada: January 21, 2019 @ 1:15pm
d