arena

Jangan kecam kami - Thaitchana

Oleh Saiful Affendy Sapran

 

KUALA LUMPUR: "Tolong hormat dan jangan terus kecam kami."

Demikian permintaan pengurus pasukan Nurinsafi, Dr Thaitchana Muruhti selepas menyaksikan anak buahnya menerima kecaman berikutan prestasi tidak menentu di saingan Liga Perdana, TNB Liga Hoki Malaysia.

Tegasnya, adalah sesuatu yang tidak masuk akal untuk membandingkan Nurinsafi dengan pasukan elit seperti TNB, Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang ternyata berada di kelas tersendiri.

"Ramai yang bercakap buruk mengenai kami. Bagi saya, anda tidak boleh terus mengkritik kerana kami adalah pasukan yang baru serta serba tidak lengkap.

"Pasukan ini dibarisi antaranya pemain SUKMA (Sukan Malaysia). Kemudian kami mempunyai tiga pemain import dengan import keempat, iaitu Waseem Ahmad masih belum dapat sertai pasukan.

"Pengorbanan pemain lain seperti yang sedang melanjutkan pelajaran juga harus diambil kira. Jadi tolonglah hormati mereka semua ini," katanya.

Nurinsafi menerima kecaman selepas tewas tiga perlawanan pertama dengan jumlah jaringan yang besar.

Mereka tewas kepada Maybank 1-5 pada perlawanan pertama, sebelum dibelasah 10-0 oleh TNB dan kemudian tewas 1-6 kepada THT.

Nurinsafi akhirnya memperoleh kemenangan pertama dengan menewaskan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2-0, semalam.

Kemenangan itu membolehkan Nurinsafi melonjak ke tangga kelima liga, sebelum turun bertemu UniKL pada perlawanan seterusnya, Jumaat ini.

 

Disiarkan pada: January 21, 2019 @ 4:11pm
d