arena

Isu gaji akan selesai jika...

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Isu tunggakan gaji bekas pemain dan jurulatih Terengganu City FC (TCFC) hampir selesai apabila pengurusan baharu kelab bersedia untuk membayarnya selepas pertemuan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), minggu ini.

Pertemuan dengan FAM itu diatur susulan pengurusan lama TCFC sudah bersetuju menyerahkan sepenuhnya kuasa kepada pengurusan baharu untuk mengendalikan kelab yang berpangkalan di Terengganu itu.

Bagaimanapun, pengurusan baharu meletakkan syarat tertentu kepada badan induk bola sepak negara itu - jika tidak mahu isu tunggakan gaji ini berpanjangan, selain mengelak pemain terus menjadi mangsa.

Pengurus TCFC, M Rezal Abu Bakar berkata, selepas isu itu disiarkan Sukan NSTP semalam, pengurusan lama menghubungi penaja baharu kelab itu, Datuk Mohd Hazarul Mohd Rahim dan bersetuju menyerahkan kuasa kepada pengurusan baharu.

“Susulan itu, kami membuat permohonan kepada FAM untuk mengadakan perbincangan lebih lanjut mengenai isu ini serta status penyertaan TCFC dalam saingan Liga Perdana. Ia dijangka berlangsung esok atau lusa.

“Kita akan membayar semua tunggakan gaji pemain dan jurulatih dalam masa terdekat selepas perjumpaan itu. Kami juga kasihan dengan nasib mereka selepas tidak dibayar gaji walaupun menjuarai Piala FAM musim lalu.

“Jika pada sebelah pagi TCFC disahkan boleh beraksi, penaja akan melunaskan semua tunggakan gaji pada sebelah petang. Jika permohonan tidak dilayan dan ditolak FAM atau MFL (Liga Bolasepak Malaysia), kami tidak akan selesaikan tunggakan gaji mereka.

“Ini kerana, kami sudah sedaya upaya mahu menolong mereka yang dianiaya itu selepas diberi kuasa penuh oleh pengurusan lama, semalam,” katanya kepada Sukan NSTP.

Sukan NSTP melaporkan pengurusan TCFC bersedia melangsaikan hutang dianggarkan lebih RM900,000 dengan syarat pengurusan lama kelab itu memberi kuasa penuh kepada pengurusan baharu menguruskan kelab.

Mereka juga memohon FAM membenarkan TCFC beraksi dalam saingan liga divisyen dua itu musim depan.

Disiarkan pada: January 21, 2019 @ 6:32pm
d