arena

Figueroa puas hati

Oleh Syafiq Aznan

 

KUALA LUMPUR: Kesilapan serta mutu pengadilan dilihat menjadi punca juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa berpuas hati seri 2-2 menentang Bangkok United pada aksi persahabatan di Stadium Thammasat, semalam.

 

Situasi itu diakui pengurusnya, Luciano Figueroa yang menyifatkan dua faktor itu menyebabkan pemainnya mensia-siakan kelebihan dua gol yang diraih pada babak pertama, sehingga membenarkan lawan bangkit meledak di babak kedua.

 

Bagaimanapun, Figueroa tetap berpuas hati dengan persembahan pemain selepas melakukan penggiliran, dengan menggunakan dua barisan pemain untuk memberi peluang kepada semua pemain muda pada aksi pramusim ini.

 

“Kami bermain baik pada separuh masa pertama dengan barisan pemain yang sering digunakan sebelum pertukaran keseluruhan pemain pada babak kedua.

 

“Selepas itu, kami melakukan beberapa kesilapan dan mutu pengadilan pada kali ini begitu teruk, sehinggakan gol pertama lawan dalam keadaan ofsaid diambil kira.

 

“Manakala gol penyamaan pihak lawan berpunca daripada kealpaan seorang pemain pertahanan kami.

 

“Selain daripada itu, semuanya berjalan dengan lancar dan saya berpuas hati dengan perlawanan ini,” katanya menerusi akaun rasmi Johor Southern Tigers.

 

Pada aksi terbabit, JDT mendahului menerusi Syafiq Ahmad dan Aaron Niguez, sebelum lawan memadam kelebihan JDT hasil jaringan Mike Havanaar dan Teeratep Winothai.

 

JDT akan membuka kempen Liga Super menentang juara Piala Malaysia, Perak bagi merebut Piala Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, 2 Februari ini.

 

Disiarkan pada: January 21, 2019 @ 6:41pm
d