arena

'Ze Love' ayam tambatan Tok Gajah

Oleh Asrol Awang

KUANTAN: Selain mahu mempertahankan Piala FA, skuad Pahang turut menyasarkan Piala Malaysia dan Piala Liga Super dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Kali terakhir skuad Tok Gajah menjuarai Piala Malaysia ialah pada 2014, manakala Piala Liga Super pula dijulang pada edisi 2004 ketika trofi itu kali pertama diperkenalkan.

Bagi musim ini, pengendali skuad Tok Gajah, Dollah Salleh mahukan skuad bimbingannya tampil lebih mantap untuk merealisasikan misi membawa pulang tiga piala.

“Sebenarnya, semua pasukan mahukan piala dan Pahang juga tidak terkecuali untuk memastikan skuad musim ini tampil lebih cemerlang berbanding musim lalu.

“Kita akan memastikan Piala FA yang dimenangi musim lalu dipertahankan dan pada masa sama, dua lagi trofi iaitu Piala Malaysia dan Piala Liga Super menjadi milik Pahang,” katanya.

Dollah berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran cawangan Football Republic di sini, hari ini, yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

Hadir sama, Ketua Pemasaran Al-Ikhsan, Mizal Ghazali serta beberapa pemain Pahang termasuk kapten Tok Gajah, Matthew Davies.

Sementara itu, Dollah mengesahkan penyerang Brazil, Jose Eduardo atau lebih dikenali sebagai Ze Love sah menyarung jersi skuad Tok Gajah.

Dengan pengesahan itu, katanya skuad itu sudah melengkapkan kuota lima pemain import sebagai persediaan mengharungi Liga M musim 2019.

“Musim ini, kita memiliki empat pemain import baru selain Eduardo iaitu Dickson Nwakaeme dari Nigeria, Saddil Ramdani (Indonesia), Herold Goulon (Perancis) dan Safuwan Baharudin (Singapura).

“Kehadiran semula Nwakaeme juga diharap menambah lagi ketajaman di bahagian serangan selain persefahaman dengan pemain tempatan,” katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2019 @ 6:48pm
d