arena

Serena benam Halep, mara suku akhir

Oleh AFP

MELBOURNE: Serena Williams berjaya mengatasi kebangkitan pemain nombor satu dunia, Simona Halep sekali gus berada di landasan tepat untuk menyamai rekod 24 gelaran major apabila mara ke suku akhir Terbuka Australia, hari ini.

Pemain berusia 37 tahun dari Amerika Syarikat (AS) itu menewaskan pilihan utama dari Romania, 6-1, 4-6, 6-4 untuk bertemu pilihan kelapan dari Republik Czech, Karolina Pliskova di suku akhir.

Pertemuan dengan Halep ini adalah yang pertama buat Williams berdepan pemain yang memegang gelaran nombor satu dunia, selepas kembali daripada cuti rehat melahirkan anak pada September 2017.

Dalam pertembungan tadi, dia mempamerkan corak permainan agresif pada awal permainan dan Halep berada dalam kedudukan bahaya sebelum juara Terbuka Perancis itu bangkit mempamerkan semangat juang.

"Ia satu perlawanan yang sengit dan ada beberapa mata yang sangat menakjubkan," kata Williams.

"Dia adalah pemain nombor satu dunia dan ada sebab kenapa... (tetapi) saya seorang pejuang, saya tidak pernah menyerah kalah."

Williams meraih gelaran ke-23 Grand Slam dua tahun lalu, ketika kandungannya berusia dua bulan dan dia menjadi pilihan utama untuk meraih gelaran kelapan di Terbuka Australia, meskipun menjadi pilihan ke-16 kejohanan.

Satu lagi gelaran major akan menyamakan kedudukannya dengan rekod milik Margaret Court dan Serena tidak pernah tercicir satu pun set dalam tiga perlawanan sebelum bertemu Halep.

Disiarkan pada: January 21, 2019 @ 7:50pm
d