arena

Juve lega tetapi Ronaldo buntu

Oleh AFP

MILAN: Cristiano Ronaldo gagal menyempurnakan penalti tetapi ia tidak menghalang pendahulu Serie A, Juventus mengatasi kelab tercorot Chievo 3-0, awal pagi tadi bagi mengembalikan kelebihan sembilan mata di puncak liga.

Pada aksi lebih awal, AC Milan kembali ke landasan untuk memperoleh tiket ke saingan Liga Juara-Juara selepas menang 2-0 ke atas Genoa.

Selepas mengesahkan gelaran pertama Juventus musim ini - trofi Piala Super - buat kali kelapan dengan menewaskan Milan minggu lalu, Ronaldo tampak sedikit lesu di bahagian serangan selepas mengharungi aksi liga pertama sejak rehat musim sejuk.

Pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu melepaskan deretan peluang untuk menewaskan penjaga gol Chievo, Stefano Sorrentino termasuk penalti pada minit ke-53.

Begitupun, Juventus merobek gawang Chievo menerusi Douglas Costa dan Emre Can pada babak pertama sebelum melengkapkan jumlah jaringan berpunca tandukan Daniele Rugani enam minit sebelum tamat.

“Saya tidak fikir ia kali pertama berlaku dalam kariernya,” kata jurulatih Juve, Massimiliano Allegri mengulas kegagalan Ronaldo. “Apa yang penting pasukan menang.

“Dia memburu jaringan tapi pada babak pertama dia terlalu kuat berusaha, dia melakukannya dengan lebih baik pada babak kedua. Ia perlawanan yang menyenangkan. Pasukan memperoleh perlawanan yang bagus, satu lagi kejayaan penting untuk perlumbaan meraih Scudetto.”

Chievo memulakan kempen musim ini dengan kekalahan 2-3 kepada Juventus di Verona tetapi menamatkan 2018 dengan kemenangan pertama dan tewas sekali daripada lapan aksi terakhir dengan mengikat Napoli, Lazio dan Inter.

Pemain sayap Brazil, Costa menjaringkan gol pertama Juve seawal minit ke-13 yang juga jaringan pertamanya dalam saingan Serie A musim ini sebelum umpanan Paulo Dybala yang disudahkan Can meletakkan tuan rumah selesa mendahului sejurus sebelum rehat.

Juventus dianugerahkan penalti selepas Mattia Bani memegang bola dalam kotak penalti dan Ronaldo melepaskan dua lagi peluang sebelum Rugani menyempurnakan sepakan percuma Federico Bernardeschi untuk memberikan Juventus kekal di landasan merangkul gelaran kelapan berturut-turut Scudetto.

Juventus sudah mengumpul 56 mata daripada 20 perlawanan, kelebihan sembilan mata berbanding Napoli yang menewaskan Lazio 2-1.

Sementara itu, Fabio Borini dan Suso meledak gol lewat bagi membantu Milan bangkit daripada kekalahan kepada Juventus di Arab Saudi untuk melonjak ke tangga keempat Serie A.

Skuad kendalian Gennaro Gattuso kini mengumpul 34 mata daripada 20 perlawanan dan di laluan untuk beraksi dalam kancah Liga Juara-Juara selepas mengatasi AS Roma dengan kelebihan satu mata.

Disiarkan pada: January 22, 2019 @ 8:04am
d