arena

Penalti kontroversi 'nyawa' UAE

Oleh AFP

ABU DHABI: Tuan rumah Emiriah Arab Bersatu (UAE) menamatkan perjalanan mengagumkan Kyrgyzstan dengan penalti kontroversi pada masa tambahan untuk layak ke suku akhir Piala Asia awal pagi tadi ketika juara bertahan Australia dan Jepun turut mara.

Matthew Ryan menyelamatkan dua sepakan penalti ketika Socceroos menewaskan Uzbekistan menerusi penentuan penalti manakala Blue Samurai menyingkirkan Arab Saudi.

Pemain gantian Ahmed Khalil muncul wira UAE apabila dia menyempurnakan satu lagi sepakan penalti lewat perlawanan selepas keputusan pengadil yang boleh dianggap “lemah.”

“Saya tidak mahu bercakap mengenai pengadil,” tegas jurulatih Kyrgyzstan, Aleksandr Krestinin.

“Kami meninggalkan kejohanan ini dengan banyak kesalan - kami berhak mara lebih jauh. Ia Piala Asia pertama kami tapi saya yakin ia bukan yang terakhir dan kami akan tampil dengan lebih kuat.”

Pemain gantian Kyrgyzstan, Tursunali Rustamov mengejutkan Emiriah apabila dia menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.

Tuan rumah hanya memerlukan 14 minit untuk memecah kebuntuan apabila Khamis Esmaeel menanduk masuk sepakan sudut Ismail Matar.

Kyrgyzstan enggan menyerah kalah dan White Falcons menyamakan kedudukan pada pertengahan babak pertama apabila Mirlan Murzaev menyepak masuk dari sudut sukar.

Namun sepakan voli Ali Mabkhout meletakkan pasukan yang layak ke separuh akhir pada 2015 itu kembali di depan susulan kesilapan pertahanan Mustafa Iusupov.

Ia kelihatan mematahkan semangat Kyrgyzstan sebelum Rustamov menanduk masuk pada masa kecederaan untuk memaksa masa tambahan.

Bagaimanapun apabila Mabkhout berguling di padang selepas sentuhan minimum 11 minit pada masa tambahan pertama, bekas naib juara itu dianugerahkan penalti diragui buat kali kedua pada kejohanan kali ini.

Seperti aksi pembukaan menentang Bahrain, Khalil tenang menyepak masuk penalti untuk memberi peluang UAE membalas dendam kekalahan pada separuh akhir di tangan Australia empat tahun lalu.

“Ya, kami mendapat satu lagi sepakan penalti tapi kami mencipta lebih banyak peluang,” tegas jurulatih UAE, Alberto Zaccheroni, yang mengemudi kejayaan Jepun memenangi Piala Asia 2011.

“Kami mempamerkan reaksi positif dan karakter kuat selepas gol penyamaan mereka.”

Sementara itu, juara empat kali Jepun mengatasi Arab Saudi 1-0 menerusi tandukan Takehiro Tomiyasu pada babak pertama.

Disiarkan pada: January 22, 2019 @ 8:42am
d