arena

Lorenzo kempunan litar Sepang

Oleh Reuters

LONDON: Penunggang Sepanyol, Jorge Lorenzo terlepas ujian pramusim MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang bulan depan selepas mengalami kecederaan patah pergelangan tangan ketika sesi latihan di Itali dan menjalani pembedahan.

Juara dunia tiga kali itu akan berlumba bersama pasukan Repsol Honda musim ini bersama penyandang juara, Marc Marquez selepas meninggalkan Ducati.

Ujian di Sepang dijadual dari 6 hingga 8 Februari depan.

Honda dalam satu kenyataan menyatakan Lorenzo, yang mengalami kecederaan di pergelangan tangan selepas terjatuh ketika sesi latihan di Grand Prix Thailand, Oktober lalu patah tulang tangan kirinya semasa menjalani latihan berhampiran Verona.

Skru titanium dipasang di tangan pelumba berusia 31 tahun itu dan dia kekal di bawah pemantauan hospital selama 24 jam.

“Empat hari rehat akan memberikan kecederaan itu tempoh yang cukup untuk pulih daripada pembedahan dan membolehkan fisioterapi dimulakan,” menurut Honda.

“Berikutan kecederaan yang dihadapinya, Jorge Lorenzo dan pasukan Repsol Honda akan mengetepikan Lorenzo daripada ujian di Sepang untuk fokus sepenuhnya bagi proses pemulihan. Sasarannya adalah untuk kembali cergas sepenuhnya bagi ujian di Qatar dari 23 hingga 25 Februari.”

Honda akan melancarkan jentera baharu pasukan itu bagi 2019 di Madrid, esok dengan Marquez turut berada dalam proses pemulihan daripada pembedahan bahu bulan lalu.

Perlumbaan MotoGP musim ini bermula pada 10 Mac depan di Qatar.

Disiarkan pada: January 22, 2019 @ 11:16am
d