arena

Harap dapat selesai segera

Oleh Saiful Affendy Sapran

KUALA LUMPUR: Presiden Hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Datuk Amir Azhar Ibrahim berharap kes membabitkan jurulatihnya, Arul Selvaraj tidak berpanjangan, sebaliknya dapat diselesaikan segera tanpa perlu dibawa ke Jawatankuasa Disiplin Konfederasi Hoki malaysia (MHC).

Jelas Amir yang juga pengurus pasukan UniKL, Arul sendiri sudah pun secara terbuka menyatakan permohonan maaf dan mengakui kesalahan yang dilakukannya.

Jawatankuasa Teknikal Liga Hoki Malaysia (LHM) sebelum ini merujuk Arul ke Lembaga Disiplin MHC kerana mengeluarkan kenyataan dalam akhbar berbahasa Melayu yang antaranya menyatakan LHM dilihat akan 'tutup kedai' kerana agak hambar musim ini dan sesuatu perlu dilakukan untuk menghidupkan semula kejohanan itu.

"Harap isu ini tidak dipanjangkan lagi dengan hukuman atau tindakan ke atas Arul. Kami sendiri sedia memohon maaf kepada MHC.

"Malah sebaik isu itu timbul, saya sudah pun menghubungi Arul dan dia juga sudah mengakui kesalahannya.

"Kami juga sudah menasihatkan Arul supaya tidak mengulangi perbuatan itu lagi," katanya.

Ditanya apakah pendirian UniKL berhubung isu itu, Amir berkata, pihaknya akan cuba untuk patuh dengan segala peraturan ditetapkan oleh MHC.

"Kami berasakan hanya liga ini yang berpotensi untuk mengembangkan bakat pemain muda serta pemain sedia ada.

"Dalam soal ini, kami akan sentiasa memberi sokongan kepada MHC," katanya.

Selain Arul, pemain Nurinsafi, Jiwa Mohan juga berdepan situasi sama berikutan kenyataannya dalam akhbar berbahasa Inggeris.

  

Disiarkan pada: January 22, 2019 @ 4:44pm
d