arena

Danielle melangkah ke separuh akhir

Oleh AFP

MELBOURNE: Pemain kurang ternama, Danielle Collins bangkit daripada ketinggalan set pertama sebelum menewaskan pemain Russia, Anastasia Pavlyuchenkova dalam masa dua jam 16 minit untuk mara ke separuh akhir Terbuka Australia sebentar tadi.

Pemain bukan pilihan daripada Amerika Syarikat itu menewaskan pemain nombor 44 dunia, Anastasia 2-6, 7-5, 6-1 dan akan menentang pemenang di antara pilihan kelapan dari Czech, Karolina Pliskova atau pilihan ke-15 dari Australia, Ashleigh Barty.

Pemain berusia 25 tahun itu yang lebih banyak bertanding di sirkit kolej AS mencuri tumpuan apabila mudah mengatasi cabaran pilihan kedua, Angelique Kerber 6-0, 6-2 di pusingan keempat.

Bagaimanapun, dia gagal mengulangi momentum itu ketika menentang Anastasia tetapi masih mampu mempamerkan aksi bertenaga ke atas lawannya yang agak tertekan dalam cuaca panas.

Danielle yang menduduki ranking ke-35 dunia mengejutkan tiga pemain pilihan untuk mara ke peringkat empat terakhir berkata, dia teruja beraksi di pentas besar.

"Ya, ini kali pertama saya beraksi di Rod Laver (Arena)," katanya.

"Malah saya tak pernah beraksi di sini dan ini satu pengalaman menarik. Saya benar-benar sukakannya.”

Aksi di peringkat suku akhir Grand Slam itu adalah yang kelima buat Anastasia, 26 namun semuanya berakhir dengan kekalahan.

Disiarkan pada: January 22, 2019 @ 5:17pm
d