arena

Nadal singkir 'pembunuh gergasi'

Oleh AFP

MELBOURNE: Pemain pilihan kedua, Rafael Nadal mengekalkan rentak cemerlang di saingan tenis Terbuka Australia apabila melangkah ke pentas separuh akhir, sebentar tadi.

Pemain nombor dua dunia ini mengenepikan cabaran ‘pembunuh gergasi’ dari Amerika Syarikat (AS), Frances Tiafoe 6-3, 6-4, 6-2, untuk menyertai kelompok empat terbaik.

Sebelum ini, Tiafoe, 21, - pemain bukan pilihan mencipta kejutan apabila mengenepikan cabaran pilihan kelima, Kevin Anderson serta Grigor Dimitrov (pilihan ke-20).

Namun dalam pertembungan suku akhir tadi, Nadal - membuktikan dia lebih berpengalaman untuk mudah menenggelamkan cabaran pemain muda AS itu yang pertama kali melangkah ke suku akhir dalam kejohanan utama.

Kekalahan itu menyaksikan impian besar Tiafoe, yang menyambut ulang tahun kelahiran pada Ahad lalu untuk terus mencipta kejutan di Australia berkecai.

Pemain Sepanyol ini menang dalam pertarungan selama 107 minit dan bakal berdepan bintang muda yang sedang meningkat, Stefanos Tsitsipas dari Greece.

Tsitsipas - seorang lagi pemain sensasi yang berusia 20 tahun layak ke separuh akhir selepas menumbangkan pemain pilihan ke-14 dari Sepanyol, Roberto Bautista Agut, 7-5, 4-6, 6-4, 7-6 (7/2) dalam perlawanan sebelumnya.

“Sepanjang karier, saya sentiasa berdepan masalah apabila beraksi di kejohanan ini. Jadi, saya gembira dengan cara beraksi pada malam ini,” kata Nadal yang menarik diri di suku akhir tahun lalu, ketika berdepan Marin Cilic.

“Saya bertuah untuk berada di tahap ini selepas menempuh pelbagai dugaan dan masih mampu menamatkan saingan sehingga ke tahap ini.

“Sebab itulah, setiap pagi selepas bangkit daripada tidur, saya bergegas ke gimnasium dan berusaha kuat,” katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2019 @ 8:57pm
d