arena

Ayuh tamatkan badi 59 tahun!

Oleh Reuters

DUBAI: Son Heung Min memainkan peranan penting bagi mengekalkan laluan Korea Selatan memburu gelaran Piala Asia tetapi penyerang bintang itu memberi amaran mereka perlu beraksi lebih baik jika mahu menamatkan penantian 59 tahun menjulang gelaran.

Bintang Tottenham Hotspur itu, yang mengharungi perlawanan keduanya dalam kejohanan membantu Korea Selatan meraih kemenangan 2-1 ke atas Bahrain yang diheret ke masa tambahan bagi menempah aksi suku akhir bertemu Qatar.

“Saya fikir kami lebih bagus daripada itu,” kata Heung Min. “Kami memperoleh keputusan, persembahannya tidak hebat tapi kadangkala anda memperoleh keputusan yang baik.

“Kami tidak sabar untuk bermain pada suku akhir, yang pasti akan menjadi satu lagi perlawanan sukar.”

Heung Min menjadi tumpuan dalam perlawanan yang kadangkala menjadi cukup kasar tetapi dia menafikan menjadi sasaran seperti kebanyakan pemain berprofil tinggi di kejohanan serantau.

“Kadangkala sukar apabila anda perlu bermain menentang pasukan yang meletakkan 10 pemain di benteng pertahanan, anda tidak mendapat ruang dan setiap orang boleh menjadi sasaran,” katanya. “Kami sepatutnya belajar mengenainya dan bermain lebih baik.”

Heung Min hanya menyertai rakan sepasukannya di Emiriah Arab Bersatu pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang China sebagai sebahagian perjanjian dengan Spurs bagi membenarkannya menyarung jersi kebangsaan untuk beraksi di Sukan Asia, tahun lalu.

Pemain berusia 26 tahun itu mengakui pengalamannya bermain di Liga Perdana Inggeris akan membantunya mengharungi perlawanan menentang Qatar yang dipenuhi ramai pemain muda, Jumaat ini di Bandar Sukan Zayed, Abu Dhabi.

Disiarkan pada: January 23, 2019 @ 8:14am
d