arena

Balotelli perkasa Marseille

Oleh AFP

MARSEILLE: Kelab Perancis, Marseille mengesahkan perjanjian bagi mendapatkan khidmat Mario Balotelli dari Nice selepas bersetuju untuk menanggung baki enam bulan kontrak penyerang Itali itu, menurut sumber, semalam.

Pemain berusia 28 tahun yang memiliki reputasi sukar untuk ditangani pernah bermain untuk beberapa kelab ternama seperti Inter Milan, Manchester City, AC Milan, Liverpool dan terbaharu Nice selain menjaringkan 14 gol dalam 36 penampilan bersama Itali.

Sumber menyatakan pemain dengan gelaran ‘Super Mario’ itu akan menjalani ujian perubatan hari ini tetapi tidak sempat untuk disenaraikan bagi aksi Ligue 1 menentang Lille, minggu ini.

“Balotelli adalah keutamaan kami,” kata jurulatih Marseille, Rudi Garcia.

Marseille ketika ini menghuni tangga ketujuh Ligue 1 dan bergelut untuk menjaringkan gol selepas gagal dalam cubaan untuk membawa Balotelli ke Stade Velodrome, musim panas lalu.

Dua penyerang utama kelab itu, Valere Germain dan Kostas Mitroglou, masing-masing hanya menjaringkan tiga gol sepanjang musim ini.

Balotelli meledak 18 gol dalam 28 penampilan untuk Nice musim lalu tetapi gagal menjaringkan sebarang gol musim ini.

Disiarkan pada: January 23, 2019 @ 10:38am
d