arena

Alli kecewa

Oleh Reuters

LONDON: Pemain tengah Tottenham, Dele Alli terpaksa berehat hingga Mac depan selepas mengalami kecederaan hamstring pada aksi Liga Perdana Inggeris minggu lalu, menurut kelab utara London itu, hari ini.

Alli yang meledak gol penyamaan pada babak kedua ketika Spurs menewaskan Fulham 2-1 di gelanggang lawan terpaksa dikeluarkan selepas mengadu kesakitan di hujung perlawanan.

“Dele akan mengharungi tempoh pemulihan dengan staf perubatan kami menjangkakan dia akan kembali menjalani latihan pada Mac,” menurut Tottenham dalam satu kenyataan dalam laman web kelab itu.

Pemain berusia 22 tahun itu menulis dalam laman Twitter dia ‘kecewa’ dengan perkembangan itu.

“Saya akan melakukan segala yang termampu untuk kembali beraksi secepat mungkin. Terima kasih atas mesej anda semua,” katanya.

Ketiadaan Alli menjadi satu lagi tamparan buat Spurs dalam usaha memburu penamat empat teratas Liga Perdana yang menjanjikan slot ke Liga Juara-Juara.

Tottenham ketika ini menghuni tangga ketiga liga tetapi kehilangan khidmat penyerang berbisa, Harry Kane susulan kecederaan buku lali dan penyerang Korea Selatan, Son Heung Min yang beraksi pada Piala Asia.

Gandingan dua penyerang itu sudah meledak 22 gol musim ini.

Selain Kane dan Heung Min, Spurs turut kehilangan pemain tengah Perancis, Moussa Sissoko kerana kecederaan pangkal paha.

Disiarkan pada: January 23, 2019 @ 11:26am
d