arena

Tiada lagi pemain ke Barca - Valverde

Oleh AFP

BARCELONA: Ernesto Valverde percaya Barcelona tidak akan menjalankan sebarang urusan pembelian bulan ini selepas memperkenalkan Kevin-Prince Boateng secara rasmi di Nou Camp, semalam.

Boateng berpindah ke Barca dari kelab Itali, Sassuolo secara pinjaman selama enam bulan dengan perjanjian bernilai 1 juta euro (RM4.70 juta) termasuk pilihan untuk pembelian berjumlah 8 juta euro (RM37.58 juta) pada musim panas.

Penyerang berusia 31 tahun itu adalah pembelian kedua kelab gergasi Sepanyol itu bulan ini selepas turut menyambar pertahanan Jeison Murillo secara pinjaman dari Valencia.

“Saya tidak percaya ada lagi yang akan tiba,” kata Valverde ketika sidang media, semalam. “Begitupun sudah tentu anda tidak boleh yakin 100 peratus.

Valverde dalam pada itu mengakui Denis Suarez mungkin dibenarkan keluar dan tidak pasti mengenai masa depan Malcom.

“Benar, ada kemungkinan Denis akan keluar tapi saya tidak tahu apa yang akan berlaku.”

Mengenai Malcom, beliau menambah: “Hingga 31 Januari ini kami tidak boleh berkata dengan yakin tapi kami tidak akan membiarkan kami kekurangan pemain. Dia perlu berjuang untuk mendapatkan lebih peluang untuk bermain. Kami menjangkakan sesuatu yang lebih daripadanya.”

Kehadiran Boateng mengisi kekosongan ditinggalkan Munir El Haddadi yang dijual ke Sevilla, awal bulan ini.

Barcelona sudah mengharungi 31 perlawanan musim ini dan menghuni carta teratas La Liga selain masih bersaing dalam kempen Liga Juara-Juara dan Piala Raja Sepanyol.

“Saya belum bercakap dengan jurulatih,” kata Boateng. “Tapi saya tahu saya tidak datang ke sini untuk berada dalam kesebelasan utama kerana ada ramai pemain menakjubkan dalam pasukan ini. Saya berada di sini kerana pengalaman saya dan untuk membantu.”

Disiarkan pada: January 23, 2019 @ 11:42am
d