arena

Mat Don, Nidzam jangan 'gaduh' lagi

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Biar apapun masalah antara tonggak import baharu Melaka United (MU), Liridon Krasniqi dan penolong jurulatih, Nidzam Adzha Yusoff, kedua-dua watak penting skuad Hang Tuah itu perlu meletakkan kepentingan pasukan sebagai keutamaan.

Itu peringatan yang diberikan pengurus MU, Datuk Yusoff Mahadi yang percaya bekas pemain dan jurulatih Kedah berkenaan cukup matang dan profesional dalam misi memacu pasukan merebut kejuaraan Liga Super musim ini, meskipun kedua-duanya pernah bertelagah sesama sendiri ketika bersama skuad Helang Merah musim lalu.

Sebelum ini, Liridon atau disapa Mat Don oleh penyokong Kedah secara terbuka mengecam Nidzam yang disifatkannya punca utama di sebalik kegagalan skuad Hijau Kuning melepasi peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia.

Kecaman itu nyata mengejutkan Nidzam yang mengakui kecewa seolah-olah bakti dan ilmu yang dicurahkan sebelum ini dibalas dengan 'racun' oleh pemain tengah itu.

Lantas, senario itu mencetuskan sedikit kebimbangan dalam kalangan pemerhati bola sepak tempatan mengenai hubungan kedua-dua individu itu yang dikhuatiri akan mengganggu keharmonian MU.

"Ada dengar masalah (sebelum ini di Kedah), tapi saya anggap ia masalah yang boleh ditangani secara profesional.

"Setiap jurulatih, setiap pemain apabila berada di suatu tempat yang berbeza, mereka perlu profesional. Kalau ada masalah mereka kena tinggalkan dan kena berkerja untuk pasukan yang baharu.

"Bagi saya, mereka perlu melupakan apa juga perselisihan atau pergaduhan. Bukan sahaja jurulatih, pemain juga perlu profesional," kata Yusoff.

Semalam, MU menamatkan spekulasi mengenai teka-teki kedudukan Liridon apabila sah mengikat pemain berusia 27 itu setahun.

Selain Liridon, skuad Hang Tuah turut mengikat tiga lagi import iaitu tonggak pertahanan dari Korea Selatan, Jang Suk Won; pemain tengah dari Montenegro, Darko Markovic dan penyerang dari Brazil, Anselmo Casagrande.

Disiarkan pada: January 23, 2019 @ 2:55pm
d