arena

Trio pecut jadi sandaran

Oleh Azlan Muhammad Zain

KUALA LUMPUR: Trio pecut negara yang diketuai Azizulhasni Awang diharapkan terus cemerlang bagi memastikan sasaran melayakkan diri ke Olimpik Tokyo menerusi acara pecut berpasukan tercapai.

Gandingan Azizulhasni bersama Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis cemerlang apabila melakar gangsa di Kejohanan Trek Asia bulan lalu.

Persembahan itu dilihat belum mempamerkan kemampuan sebenar trio negara apabila Fadhil beraksi dalam keadaan demam.

Namun persembahan yang konsisten diharapkan mampu dihasilkan mereka apabila tampil pada Kejohanan Trek Dunia di Poland bulan depan.

"Perancangan awal meletakkan sasaran untuk Malaysia layak menerusi acara pecut berpasukan. Kita tidak boleh melakukan kesilapan di Poland.

"Kita perlu berada dalam kedudukan terbaik kerana mata yang ditawarkan juga berganda seperti di Jakarta tempoh hari," jelas ketua jurulatih negara, John Beasley.

Sekiranya mara menerusi acara pecut berpasukan, Malaysia secara automatik akan mendapat tiket dalam acara individu iaitu keirin dan pecut yang secara tidak langsung mencerahkan peluang memburu pingat.

Jelas Beasley, hanya lapan negara terbaik ranking Olimpik akan mendapat tiket berkenaan dan menerusi kedudukan terbaru Malaysia berada pada tempat ke-12 dengan 1446 mata.

Kali terakhir Malaysia layak ke Olimpik menerusi acara pecut berpasukan adalah di Beijing 2008 menerusi Azizulhasni, Josiah Ng dan Rizal Tisin.

 

 

 

 

Disiarkan pada: January 23, 2019 @ 5:07pm
d