arena

TRW ikat bekas penyerang Afghanistan

Oleh Attirmidzie Rahman

KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengikat bekas pemain kebangsaan Afghanistan, Mustafa Zazai bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Pengesahan itu diumumkan Presiden KAFA Bibi Ramjani Ilias Khan yang mengharapkan kehadiran Mustafa mampu membentuk gandingan mantap dengan Flavio Beck Junior.

Katanya, KAFA bersetuju mengikat kontrak Mustafa yang juga bekas pemain kelab Phrae United (Liga Thai) selama setahun untuk mengisi posisi tengah dan penyerang The Red Warriors (TRW) musim ini.

Mustafa yang berketinggian 1.77 meter berusia 26 tahun berasal dari Kabul, Afghanistan pernah menyarung jersi kebangsaan Afghanistan pada 2014.

Dia mempunyai pengalaman luas beraksi di Eropah dan pernah beraksi bersama di Liga Jerman antaranya VFB Lubeck, FC St Pauli, TSG Neustrelitz, Luneburger SK Hansa dan pasukan terakhir diwakili ialah Phrae United (2018).

Sementara itu, Bibi Ramjani berkata, TRW bakal menurunkan beberapa pemain import untuk diuji dalam perlawanan keempat aksi pramusim menentang Sungai Padee FC dari Liga Thai di Stadium Sultan Muhammad IV, esok.

“Perlawanan itu penting untuk melengkapkan senarai akhir pemain dan peluang menguji tiga calon import iaitu Nedo Turkovic (Bosnia), David Rowley (Australia) dan Pavel Purishkin(Uzbekistan).”

Disiarkan pada: January 23, 2019 @ 9:29pm
d