arena

City ranapkan mimpi Burton

Oleh AFP

BURTON-ON-TRENT, United Kingdom: Manchester City mengesahkan tiket ke final Piala Liga hasil kemenangan 1-0 ke atas Burton, awal pagi tadi sekali gus mara dengan agregat besar 10-0.

Skuad kendalian Pep Guardiola menewaskan Burton 9-0 pada aksi separuh akhir pertama yang berlangsung awal bulan ini di Etihad dan mengesahkan kepulangan semula ke Wembley, 12 bulan selepas menjuarai gelaran sama pada musim lalu.

Begitupun, City tidak menampilkan kekuatan penuh menentang skuad divisyen tiga itu kali ini dengan jaringan tunggal diledakkan oleh penyerang Argentina, Sergio Aguero pada babak pertama.

City dijadual menentang sama ada Tottenham atau Chelsea pada aksi final yang berlangsung pada 24 Februari ini dengan Spurs memiliki kelebihan susulan kemenangan 1-0 yang diperoleh pada aksi pertama di Stamford Bridge.

Sejak tewas kepada Leicester dalam kempen Liga Perdana pada 26 Disember lalu, City kini sudah memenangi tujuh perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan.

Juara Inggeris itu akan meneruskan kempen untuk memenangi empat kejuaraan utama pada musim ini apabila mereka akan bertemu Burnley pada pusingan empat Piala FA, Sabtu ini.

Bertemu Burton yang dikendalikan Nigel Clough di gelanggang lawan, Guardiola merehatkan ramai tonggaknya malah memberi peluang buat pemain sayap berusia 18 tahun, Ian Carlo Poveda penampilan sulung di kesebelasan utama bersama Aro Muric, Phil Foden, Philippe Sandler dan Eric Garcia.

Aguero, Kevin De Bruyne, Riyad Mahrez dan Fabian Delph menjadi pemain bintang yang berada di kesebelasan utama dengan pelawat meledak gol tunggal pada minit ke-25 berpunca gerakan De Bruyne dan Mahrez.

Disiarkan pada: January 24, 2019 @ 8:19am
d