arena

Kecederaan pemain hantui JDT

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Situasi genting bakal dihadapi skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila masalah kecederaan membelenggu beberapa pemain utama menjelang aksi Piala Sumbangsih menentang Perak di Larkin yang juga perlawanan pembuka tirai saingan Liga Malaysia (Liga-M), pada 2 Februari ini.

Pengendali JDT, Luciano Figueroa berkata, dalam aksi terakhir siri jelajah pramusim di Thailand menyaksikan beliau terpaksa merehatkan beberapa pemain ketika berdepan PTT Rayong FC di mana juara lima kali Liga Super itu berjaya mencatat kemenangan 3-1.

Terdahulu, skuad Harimau Selatan tumbang perlawanan pertama menentang Ratchaburi Mitr Phol FC 1-2 sebelum bangkit memperagakan aksi lebih kemas untuk mengikat naib juara Liga satu Thailand musim lalu, Bangkok United 2-2.

Bagaimanapun, Luciano tetap tenang dengan situasi itu apabila menegaskan skuad kendaliannya masih berada pada landasan tepat dan bersedia untuk mengekalkan trofi sumbangsih yang dimenangi musim lalu selepas menewaskan Kedah 2-1.

"Segala perancangan kami berjalan lancar dan baik. Ia sama seperti perlawanan- sebelum ini di mana kami melakukan pertukaran pemain dalam skuad dan memberi Mauricio Nascimento peluang bermain separuh masa disebabkan dia belum pulih seratus peratus dari kecederaan.

"Aaron Niguez juga baru pulih dari kecederaan dialami pada perlawanan lepas namun belum seratus peratus pulih, manakala Natxo Insa pula tidak diturunkan dalam perlawanan ini kerana turut cedera di bahagian belakang.

"Oleh itu, kami teruskan bermain untuk melengkapkan persiapan pasukan dalam pramusim ini," katanya menerusi laman rasmi Facebook kelab itu.

Katanya lagi, beliau enggan terlalu menekan pemainnya sambil mengakui gembira dengan komitmen dan semangat ditunjukkan barisan pemain.

"Kami tidak mahu terlalu memaksa pemain memberikan seratus peratus di atas padang kerana kami mempunyai kurang dua minggu sahaja lagi untuk mempersiapkan pasukan ini bagi perlawanan pertama liga iaitu Piala Sumbangsih menentang juara Piala Malaysia, Perak.

"Kami perlu memastikan tiada pemain mengalami sebarang kecederaan dan tidak mahu mengambil risiko pemain mengalami lebih banyak kecederaan sebelum liga bermula," katanya.

Disiarkan pada: January 24, 2019 @ 2:51pm
d