arena

Kevin minat terajui skuad negara

Oleh Naqib Nor Said

KUALA LUMPUR: Bekas pertahanan hoki negara, Kevin Lim yang kini menetap di Jerman secara terbuka menyatakan kesediaan untuk membimbing skuad hoki dalam dewan negara seandainya Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menawarkan jawatan itu kepadanya.

Dia percaya dengan pengalaman luas dimilikinya mampu mengangkat prestasi skuad negara ke satu tahap lebih tinggi apatah lagi dengan senarai panjang pencapaiannya termasuk pernah diangkat sebagai kapten skuad hoki dalam dewan Jerman yang beraksi di Kejuaraan Eropah 2010.

Malah, Kevin juga berpengalaman sebagai jurulatih hoki dalam dewan apabila sejak 2009 sudah mengendali pasukan remaja Wespen Wehderlofer secara separuh masa sebelum mula berjinak sepenuh masa bersama pasukan senior kelab Jerman itu selepas bersara sebagai pemain pada 2018.

Kini, pada usia 33 tahun, Kevin yang pernah membuat 12 penampilan buat Malaysian Tigers, yakin segala pengalamannya sebagai jurulatih dan pemain mampu membawa sukan hoki dalam dewan negara ke tahap lebih tinggi, terutama di peringkat dunia.

"Sekiranya diberi peluang mengapa tidak! Saya berpengalaman luas dalam sukan ini apatah lagi Jerman adalah antara kuasa besar hoki dalam dewan. Oleh itu ia satu pengiktirafan jika MHC mempertimbangkan saya.

"Dengan penuh rasa hormat kepada jurulatih tempatan sebenarnya saya merasakan pengetahuan saya terhadap hoki dalam dewan lebih ke depan kerana di Malaysia ia belum benar-benar membangun dan baharu mula bertapak sejak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Pengalaman saya mewakili skuad kebangsaan dan beraksi dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) sebelum ini juga turut memberi kelebihan untuk mudah memahami pemain negara ini dan walaupun sukar untuk saya menaburkan janji mengenai sasaran tetapi saya amat pasti pengetahuan saya mampu mengembangkan hoki dalam dewan di Malaysia," katanya.

Menerusi laporan Sukan NSTP semalam, bekas penyerang negara Chairil Anwar Abdul Aziz menyarankan MHC melantik pakar untuk membimbing skuad hoki dalam dewan yang kembali dibentuk bagi menghadapi Sukan SEA Filipina 2019.

Selain Kevin, Chairil turut beranggapan bekas jurulatih skuad hoki dalam dewan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kamaruddin Misman turut wajar dipertimbangkan dengan MHC ketika ini dikatakan menjadikan bekas jurulatih negara, Yahya Atan dan Tai Beng Hai sebagai pilihan.

"Pengetahuan saya sebagai bekas pemain dan jurulatih sudah tentu memberi kelebihan," jelas Kevin lagi. "Untuk berjaya dalam hoki dalam dewan pemain perlu mendapat tunjuk ajar taktikal dan asas yang betul, jika tidak mereka akan bergelut mencapai tahap tertinggi."

Disiarkan pada: January 24, 2019 @ 3:47pm
d