arena

Naomi benam Karolina

Oleh AFP

MELBOURNE: Pemain pilihan keempat, Naomi Osaka mengatasi cabaran sengit Karolina Pliskova untuk mara ke final Terbuka Australia menentang pilihan kelapan dari Czech, Petra Kvitova.

Bintang Jepun berusia 21 tahun itu menewaskan pilihan ketujuh 6-2, 4-6, 6-4 hari ini untuk mara ke final kedua berturut-turut Grand Slam selepas mengejutkan Serena Williams di Terbuka AS tahun lalu.

Naomi memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila menang set pertama ketika bumbung Rod Laver Arena ditutup selepas cuaca panas mencecah 36 darjah Celsius .

Tetapi Karolina yang menewaskan Serena dalam aksi epik di separuh akhir semalam bangkit bertenaga di set kedua namun mengalah dengan kepantasan Naomi di set ketiga.

“Saya sudah menjangkakan perlawanan ini pasti sengit,” kata Naomi merujuk kepada kegigihan Karolina bangkit di set kedua.

“Saya beritahu diri sendiri agar kembali fokus di set ketiga dan bekerja keras. Akhirnya saya berjaya.”

Katanya, kemenangan di Flushing Meadows membantunya mengatasi rasa gementar terhadap tentangan pemain Czech itu.

“Saya agak risau ketika melakukan servis kedua, saya berkata ‘Oh Tuhan bantu lah saya,” katanya.

Naomi berusaha menjadi pemain wanita pertama sejak Serena Williams menjuarai Terbuka AS pada 2015 dan Terbuka Australia 2016 berturut-turut.

Dia juga akan menjadi pemain nombor satu wanita yang baharu menggantikan Simona Halep jika menewaskan Petra di final.

Disiarkan pada: January 24, 2019 @ 5:21pm
d