arena

'Usah merungut di media sosial'

Oleh Azlan Muhammad Zain

KUALA LUMPUR: "Jangan sentuh aspek polisi dan pengurusan sukan di media sosial".

Itu saranan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail   yang mahu atlet negara lebih berhati-hati menggunakan media sosial.

Jelasnya, atlet sudah mempunyai saluran yang banyak dan mencukupi untuk menyuarakan sebarang masalah dihadapi.

"Setiap atlet mempunyai persatuan sukan, ada pengurus sukan MSN, Jawatankuasa Perwakilan Atlet yang terbuka untuk memberikan maklumat dan memberikan jawapan persoalan dihadapi mereka. Saluran yang cukup banyak.

"Semua rungutan berkaitan polisi dan pengurusan boleh terus  rujuk. Tidak perlu diumumkan kepada orang ramai (media sosial) kerana ia boleh mencetuskan lebih banyak reaksi.

"Jika mahu meluahkan perasaan tentang prestasi dan keadaan diri  mereka, ia tidak menjadi masalah kerana mereka adalah hak masyarakat. Jadi saya menyarankan atlet berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan ( di media sosial)," katanya.

Media sosial kini dilihat menjadi saluran pilihan kepada sesetengah atlet negara bagi menyuarakan pandangan mereka.

Terbaru isu membabitkan atlet lempar cakera negara,  Irfan Shamsuddin yang memuat naik status di laman Instagram yang didakwa mempersoalkan misi serta visi Kementerian Belia dan Sukan di bawah kepimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Apa yang penting aspek komunikasi perlu ditingkatkan," tambahnya.

 

Disiarkan pada: January 24, 2019 @ 7:10pm
d