arena

'Saya hanya fikir TFC'

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Biarpun sering dikaitkan dengan skuad Harimau Malaya, fokus dan komitmen tonggak tengah Terengganu FC (TFC), Lee Tuck terhadap skuad Penyu langsung tidak terjejas apabila tetap memberikan sepenuh tumpuan sepanjang persiapan pramusim Liga Malaysia (Liga-M) yang akan bermula 1 Februari ini.

Menurut pengendali TFC, Irfan Bakti Abu Salim, beliau cukup mengagumi karakter Tuck yang sentiasa memperagakan aksi terbaik tidak kira di dalam padang mahupun di luar padang.

Malah, sejak namanya dikaitkan dengan kemungkinan bakal mengikuti jejak Mohamadou Sumareh menyarung jersi negara, Tuck tetap serius dan tidak memandang mudah latihan bersama  pasukan naib juara Piala Malaysia itu.

“Dia komited atau mungkin Lee Tuck lebih teruja untuk menunjukkan prestasi lebih bagus pada musim baharu selepas kerap dikaitkan untuk menyertai pasukan negara.

“Namun apa yang saya nampak, mungkin Lee Tuck akan menjadikan tawaran itu sebagai suntikan motivasi dan ini sudah pasti memberikan kelebihan buat TFC,” kata bekas pengendali Selangor dan FELDA United itu.

Tuck pemain berdarah kacukan Malaysia-England sebelum ini mengakui bersedia untuk beraksi dengan skuad kendalian Tan Cheng Hoe dan berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menyenaraikan namanya dalam tugasan antarabangsa selepas ini.

Pemain yang mula menyarung jersi Negeri Sembilan pada 2016-2017 sebelum menyertai skuad TFC musim lalu, bukan hanya bijak mengemudi jentera tengah tetapi juga berupaya meledak gol.

Jika berjaya, Tuck akan menyusuli langkah beberapa pemain lain yang memiliki pertalian darah dengan negara ini seperti pemain Perak, Brendan Gan, Matthew Davies ( Pahang), Kiko Insa dan Natxo Insa (Johor Darul Ta’zim).

Jelas Irfan lagi, beliau turut memuji sikap rajin pemain berusia 30 tahun itu yang sentiasa memberikan 120 peratus dalam setiap arahan diberikan terutama pada sesi latihan.

“Saya sentiasa tertarik dengan Lee Tuck. Cukup rajin tidak kira dalam sesi latihan mahupun perlawanan.

“Jika dalam sesi latihan, dia orang pertama tiba dan dia orang terakhir (meninggalkan sesi latihan). Baginya, bola sepak segala-galanya dan itulah sebab mengapa saya sebagai jurulatih sentiasa senang dengannya.

“Setiap kali dia diturunkan, Lee Tuck akan memberikan lebih apa yang diminta. Karakter Lee Tuck ini seharusnya dijadikan contoh terbaik kepada semua pemain khususnya pemain muda tempatan.

“Cuma saya juga ada nasihatkan kepada dia supaya kurangkan bermain secara individu ketika beraksi dan dengan pakej sedia ada, sudah pasti saya sentiasa gembira kerana Lee Tuck mampu memberikan pengaruh positif kepada rakan sepasukan,” katanya.

Disiarkan pada: January 24, 2019 @ 7:27pm
d