arena

Pulangkan duit MASCA...

Oleh Naqib Nor Said dan Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) memberi tujuh hari kepada bekas presidennya, Datuk S Subramaniam untuk menyerKUALA LUMPUR: Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) memberi tujuh hari kepada bekas presidennya, Datuk S Subramaniam untuk menyerahkan kembali duit persatuan yang hilang berjumlah RM14,662.

Menurut Timbalan Presidennya, Datuk Michael Wong, duit berkenaan didapati hilang dalam simpanan persatuan itu selepas berlakunya tiga transaksi diragui dengan masing-masing dilakukan pada 5 dan 23 November serta 7 Disember lalu.

Katanya, berdasarkan semakan di bank berkenaan, dua traksaksi pada 23 November dan 7 Disember itu dikeluarkan sendiri oleh Subramaniam sedangkan beliau pada ketika itu bukan lagi Presiden MASCA selepas berakhirnya Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 17 November lalu.

“Kita mendapati selepas mengambil alih MASCA terdapat pengaliran wang keluar melalui cek tanpa mendapat persetujuan barisan kepimpinan baharu.

“Dari sudut perundangan, sebenarnya ahli jawatankuasa lama sudah tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan sebarang transaksi wang, perkara ini tidak sepatutnya berlaku.

“Jadi, kami nak tahu apa sebenarnya yang berlaku dan kami memberi tujuh hari kepada bekas presiden MASCA untuk mengemukakan surat tunjuk sebab bermula hari ini,” katanya.

Jelasnya, meskipun ia tidak membabitkan jumlah yang besar, namun tindakan tegas ini terpaksa diambil oleh pihaknya supaya boleh dijadikan pengajaran berguna.

“Harus diingat ia bukan kerana kami hendak mengaibkan sesiapa, tujuan sidang akhbar ini lebih untuk memberitahu walaupun kami bukannya persatuan sukan besar tetapi kami mahu wujudkan pengurusan yang telus dan sihat.

“Isu ini sedikit sebanyak merencatkan perancangan jawatankuasa baharu MASCA untuk menjalankan transformasi sukan kanu di Malaysia kerana setelah bermesyuarat pada 11 Januari lalu kami memutuskan untuk membekukan akaun sehingga isu ini selesai,” katanya.

Sebagai rekod, Subramaniam yang juga naib presiden Majlis Paralimpik Malayia (MPM) memilih untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden MASCA pada AGM 17 November lalu dengan kerusi itu dimenangi Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin selepas mengetepikan dua pencabar lain.

Sementara itu, Subramaniam yang ketika ini berada di luar negara, berkata tindakan MASCA menuduhnya sebagai satu kesilapan besar dan beliau sedia menjelaskan dalam satu sidang media yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“MASCA membuat kesilapan besar, mereka tidak menyemak dengan saya terlebih dulu. Saya akan mengadakan sidang media minggu depan sebaik pulang dari luar negara dan saya akan tunjukkan bukti selain mendesak mereka untuk membuat permohonan maaf,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Disiarkan pada: January 24, 2019 @ 9:27pm
d