arena

PKNS FC kekal 'Oren'

Oleh Syafiq Aznan

SHAH ALAM: Warna oren terus menjadi warna tradisi selepas PKNS FC mengekalkan warna terbabit untuk jersi pertama pasukan itu bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga M) 2019.

Bagaimanapun, sedikit kelainan ditunjukkan bagi jersi kedua yang menyaksikan skuad ‘Semut Merah’ menggunakan warna hijau dan ‘maroon’ sementara jersi ketiga menggunakan warna biru.

Jersi penjaga gol pula berwarna hitam, kuning dan juga merah.

Jenama pakaian sukan Lotto turut kembali menjadi pilihan pengurusan PKNS FC selepas kali terakhir digunakan pada 2014.

Majlis pengenalan pemain dan pelancaran jersi PKNS FC disempurnakan EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman dalam satu majlis yang berlangsung di Uptown Shah Alam, malam ini.

Dalam majlis sama, sambutan hari lahir turut dilangsungkan untuk beberapa pemain yang menyambut kelahiran mereka bulan ini.

Malah, bagi memberikan motivasi tambahan, slogan baharu iaitu #FearNothing diperkenalkan supaya pemain PKNS FC tidak gentar dengan sebarang halangan.

Dengan mengambil inspirasi sang semut yang kecil tetapi berjiwa besar sepertimana PKNS FC, sikap tidak putus asa, kerjasama berpasukan dan pantas menghidu peluang akan diterapkan dalam pasukan.

Skuad bimbingan Datuk K Rajagobal itu akan membuka tirai Liga Super bertemu naib juara Piala Malaysia 2018, Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, 1 Februari ini.

Disiarkan pada: January 24, 2019 @ 11:09pm
d