arena

Pogba ada ciri 'kapten'

Oleh AFP

MANCHESTER: Paul Pogba mempunyai kualiti untuk memakai lilitan kapten Manchester United, menurut pengurus sementara Ole Gunnar Solskjaer yang menyaksikan kembalinya prestasi pemenang Piala Dunia itu.

Pada September lalu, pemain tengah Perancis itu diberitahu pengurus sebelum ini, Jose Mourinho bahawa dia tidak lagi akan diberikan tugas sebagai kapten, beberapa hari selepas wujud perselisihan antara mereka mengenai taktik permainan.

Mourinho bagaimanapun menafikannya namun mengetepikan tugas Pogba sebagai naib kapten United.

Keputusan itu dibuat secara umum selepas Pogba dilihat mempersoalkan pendekatan Mourinho dengan memberitahu pemberita yang United perlu “serang, serang dan serang”.

“Saya kenal pemain itu (Pogba) sebelum ini lagi dan dia adalah seorang pemimpin,” kata Solskjaer menjelang pusingan keempat Piala FA menentang Arsenal pada awal pagi esok.

“Dia mempunyai personaliti yang boleh mempengaruhi orang lain. Dia mengambil berat dan mahukan kejayaan. Dia tahu yang dia tidak boleh melakukannya sendiri. 

“Ini adalah permainan berpasukan dan personalitinya yang membawa banyak perkara baik apabila dia menikmatinya. Anda lihat personalitinya. Dia sukakan permainan bola sepak. Dia mempunyai karektor yang menakjubkan. Itulah dirinya.

“Apabila persembahan baik, ia berhubung kait dengan pemimpin yang bagus dan kamu dapat lihat dalam dirinya apabila dia memenangi Piala Dunia. Jadi bagi saya, benar, dia memiliki ciri seorang kapten.”

 

 

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 10:15am
d