arena

Jersi baru TFC esok

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Peminat setia skuad Terengganu FC (TFC) berpeluang mendekati pemain kesayangan mereka pada Majlis Memperkenalkan Jersi dan pemain TFC 2019 yang akan berlangsung, malam esok di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, dekat sini.

Majlis berkenaan akan disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pegawai media PBSNT, Haslan Hashim berkata, sebelum bermulanya majlis berkenaan, pada sebelah pagi esok akan diadakan kejohanan futsal, liga penalti, kayuhan santai, cabaran e-sport, pameran dan juga pesta makanan anjuran komuniti trak makanan.

"Program sampingan itu diadakan bagi merapatkan lagi ukhuwah antara peminat serta membangkitkan semangat pemain dan peminat sebelum aksi Liga Malaysia yang bakal bermula 1 Februari depan bertemu PKNS di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

"Sambutan yang diterima setakat ini daripada peminat untuk turut sertai dalam program yang sudah diatur itu begitu memberangsangkan memandangkan ini kali pertama program sebegitu bakal diadakan," kata Haslan.

Musim ini naib juara Piala Malaysia 2018 itu mengekalkan empat awang importnya iaitu kapten, Kipre Tchetche, pertahan Igor Zonjic, tengah Lee Tuck dan Thierry Chantha Bin manakala Sanjar Shaakhmedov dari Uzbekistan menjadi pemain terbaharu skuad Peteh Terengganu Peteh itu.

Selain bintang import yang bakal diperkenalkan malam esok, peminat setia turut dapat saksikan bekas pemenang Kasut Emas 2010 yang meledak 18 gol, Mohd Ashari Samsudin serta barisan pemain tempatan yang lain.

"Kami harapkan peminat setia skuad Penyu dapat membanjiri Kompleks Sukan di Gong Badak ini bukan hanya memberi sokongan kepada pemain malah sebagai tanda sokongan yang tidak berbelah bagi kepada PBSNT dalam misi bersama membangunkan sukan bola sepak negeri," katanya.

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 12:41pm
d