arena

Jurulatih tempatan masih guna cara lama

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Malaysia memiliki ramai pemain muda berbakat, tetapi sebahagian besar jurulatih masih lemah dan ketinggalan zaman.

Demikian pandangan Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Peter De Roo mengenai kualiti jurulatih tempatan terutamanya yang berada dalam sistem Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang masih menggunakan kaedah lama dalam melatih pemain muda.

Malah, kelemahan ketara yang dikesan oleh bekas pemain Belanda itu adalah keghairahan segelintir pihak yang mahu meniru DNA bola sepak Eropah, sedangkan Malaysia juga mempunyai gaya permainan menarik yang boleh digunakan.

"Sistem jurulatih di peringkat akar umbi agak lemah kerana masih mempraktikkan cara lama sedangkan bola sepak dunia sudah berubah dan makin moden.

"Kita juga gemar ikut gaya permainan Eropah, walaupun sebenarnya pemain Malaysia juga memiliki keistimewaan tersendiri. Terus terang, hampir setahun setengah saya di sini sebagai Pengarah Teknikal, Malaysia mempunyai banyak bakat yang bagus cuma kita gagal menggunakan kelebihan itu.

"Cuba lihat Jepun dan Korea Selatan, mereka tidak terikut-ikut dengan budaya Eropah tetapi sebaliknya ada identiti iaitu pantas ketika menyerang. Begitu juga dengan negara Teluk, mereka ada identiti sendiri dengan memperagakan permainan agresif ketika bermain.

"Malaysia juga ada kelebihan, jadi mengapa perlu ikut acuan luar. Sebab itu, kita di FAM sedang berusaha memastikan semua jurulatih daripada skuad utama negara di bawah Tan Cheng Hoe hingga akar umbi menggunakan satu modul yang sama sebagai identiti Harimau Malaya," katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal NFDP, di Bukit Jalil, hari ini.

Dee Roo, 49, yang dilantik sebagai Pengarah Teknikal pada September 2017 bagi menggantikan Fritz Schmid diberi peranan cukup besar dalam menstrukturkan semula program NFDP yang dikecam hebat susulan kegagalan skuad bawah 16 (B-16) tahun kendalian Lim Teong Kim layak ke Piala Dunia Remaja B-17 di Peru, Oktober depan.

Ujar beliau lagi, sasaran yang diletakkan oleh pengurusan terdahulu untuk layak ke Piala Dunia juga adalah suatu kesilapan kerana secara psikologinya ia akan menambahkan tekanan di bahu pemain muda.

"Untuk peringkat akar umbi, sepatutnya pemain tidak diletakkan sasaran khusus bagi mengelakkan mereka daripada tekanan. Di usia muda seharusnya diberi galakan dan sokongan untuk melangkah lebih jauh berbanding meletakkan sasaran tinggi seperti layak ke Piala Dunia.

"Kali ini kami tidak akan menetapkan apa-apa sasaran kerana objektif kita adalah untuk melahirkan kelompok pemain berkualiti yang ramai dan bukan hanya tertumpu kepada satu pasukan saja," katanya yang pernah membantu skuad B-17 Australia layak ke Piala Dunia Remaja 2015.

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 5:25pm
d