arena

Tiada laluan mudah buat Tontowi-Liliyana

Oleh Helmi Talkah

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menjanjikan satu pertarungan hebat bakal disaksikan penyokong di Istora Senayan, Jakarta apabila mereka berdepan pasangan rumah, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dalam aksi separuh akhir Masters Indonesia, esok.

Atas kertas, ia jelas misi mustahil buat pasangan profesional negara itu untuk melakar kemenangan selepas mereka tewas 10 kali dalam 11 pertemuan dengan Tontowi-Liliyana termasuk ketika final Olimpik Rio 2016.

Mereka hanya berjaya mengatasi beregu Indonesia itu ketika saingan Terbuka China pada 2012.

Lebih menyukarkan kali ini, mereka juga perlu berdepan penyokong Indonesia yang pastinya membanjiri Istora Senayan bagi memberi sokongan padu kepada pemain negara berkenaan.

Peng Soon berkata, walaupun Masters Indonesia bakal menjadi kejohanan terakhir Liliyana sebelum bersara, dia dan Liu Ying bagaimanapun enggan memberi laluan mudah dan percaya pertarungan yang sengit dapat disaksikan penonton.

“Bukan cakap saya mahu kecewakan dia (Liliyana) dalam kejohanan terakhirnya tetapi sebagai pemain sudah menjadi tanggungjawab saya untuk cuba memenangi perlawanan dan berikan aksi terbaik. Saya percaya penonton akan dapat menyaksikan satu perlawanan yang hebat.

“Saya dan Liu Ying tidak mahu terlalu memberi tekanan, kami cuba untuk menikmati perlawanan sebaiknya,” kata Peng Soon ketika dihubungi, hari ini.

 Terdahulu, Peng Soon-Liu Ying mara ke separuh akhir selepas menundukkan pasangan England, Marcus Ellis-Lauren Smith 21-11, 22-20 manakala Tontowi-Liliyana menang ke atas Takuro Hoki-Wakana Nagahara 21-16, 21-14 dalam aksi suku akhir, hari ini. Sementara itu, cabaran pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berakhir selepas dia tersingkir di suku akhir.

Pemain berusia 21 tahun itu tewas di tangan Anders Antonsen dari Denmark 13-21, 13-21.

 “Saya kecewa dengan prestasi saya hari ini. Saya perlu akui, Anders bermain dengan baik berbanding saya.

“Perjalanan saya masih jauh, masih perlu bekerja keras. Saya akan pulang dan kembali membuat persiapan bagi beraksi pada saingan Terbuka Jerman dan Seluruh England (jika layak) pada Mac,” kata Zii Jia.

Anak didik Datuk Misbun Sidek itu sebelum ini turut layak sehingga suku akhir pada saingan Masters Thailand dan Malaysia.

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 7:06pm
d