arena

Selesai tunggakan gaji minggu depan

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Pemain-pemain Kuala Lumpur akhirnya boleh menarik nafas lega selepas tunggakan gaji selama dua bulan dijangka dapat diselesaikan sebelum sepak mula Liga Super, minggu depan.

Jaminan itu diberikan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa yang menjelaskan pemain akan menerima tunggakan gaji itu sebelum aksi pembukaan bertemu Pahang, Jumaat depan.

Bagaimanapun, Nokman menegaskan cukai pendapatan pemain tetap dibayar seperti biasa walaupun pengurusan pasukan berdepan tunggakan gaji sehingga kini.

“Kita akan selesaikan semua gaji yang tertunggak selama dua bulan pada minggu depan sebelum perlawanan pembukaan menentang Pahang,” kata Nokman.

“Pemain hanya berdepan tunggakan gaji sahaja tetapi cukai pendapatan dibayar KLFA seperti biasa memandangkan perkara itu perlu dibuktikan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

“Sebelum ini KLFA telah membuat surat memaklumkan kepada MFL bahawa kita akan selesaikan segala tunggakan pertengahan Januari, dan yang terbaru kami akan membayarnya sebelum aksi pertama dan ia tidak memberikan sebarang masalah kepada kami.”

Berita baik ini sudah tentu akan memberi motivasi tambahan kepada pemain skuad ‘The Hawks’ itu dalam usaha membuka kempen liga musim ini dengan mata penuh apatah lagi akan beraksi di laman sendiri.

Dalam perkembangan sama, Nokman melontarkan keyakinan betapa masalah terbabit tidak akan berulang jika jawatankuasa KLFA memberikan kerjasama seperti yang sudah dilakukan sebelum ini.

“Ia bukan masalah mengenai tunggakan gaji berbulan bulan namun ia lebih kepada cara kami bekerja.

“Kami perlu bekerjasama mencari dana dan berharap KLFA dapat mengulangi seperti apa yang sudah dilakukan sebelum ini. Jika ini dapat dilakukan, mungkin isu tunggakan gaji tidak lagi berlaku,” katanya.

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 7:43pm
d