arena

Suntikan baharu buat TFC

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Pasukan Terengganu FC (TFC) mendapat suntikan baharu menjelang aksi Liga Malaysia (Liga-M) musim ini apabila mendapat tajaan daripada Football Republic milik penuh Al-Ikhsan Sports berjumlah RM1.2 juta selama dua tahun sehingga 2020.

Berita gembira itu diumumkan Pengurus Pembangunan Perniagaan Al-Ikhsan Sports, Suhairi Hassan pada majlis pelancaran dan pembukaan kedai kelima Football Republic di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, hari ini.

Suhairi berkata, kedai konsep premium bola sepak pertama di Malaysia itu akan terus melebarkan pasaran mereka di seluruh negeri di Malaysia selepas membuka cawangan kelimanya di Kuala Terengganu.

"Sebelum ini kedai pertama dibuka di Suria KLCC diikuti Sunway Pyramid, Alor Setar dan Kuantan. Kami berkeyakinan dengan penajaan ini skuad TFC mampu melangkah lebih jauh lagi musim ini dalam misi merangkul trofi kejuaraan," katanya.

Majlis pembukaan kedai Football Republic yang pertama di negeri itu disempurnakan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim dan dimeriahkan tiga awang import - Kipre Tchetche, Igor Zonjic dan Lee Tuck serta penjaga gol Muhamad Ilham Amirullah Razali serta Ahmad Shamim Yahya.

Mengulas lanjut Suhairi berkata, dengan pembukaan kedai itu peminat bola sepak negeri ini mempunyai lebih banyak pilihan untuk mendapatkan barangan bola sepak yang berkualiti dan mudah kerana kedai terletak tidak jauh dengan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

"Selepas mendapat sambutan hebat peminat di empat kedai terdahulu, Football Republic melihat potensi positif dalam perkembangan bola sepak di Terengganu dan kami berkeyakinan akan diterima baik oleh peminat di sini.

"Jika sebelum ini peminat dan pemain hanya dapat menyaksikan pemain profesional kesayangan mereka bertaraf dunia beraksi menggunakan barangan berkualiti, kini pilihan sudah berada di depan mereka untuk mendapatkan barangan yang mempunyai kualiti yang sama.

"Melalui penajaan kepada pasukan TFC ini, kami begitu teruja kerana dapat menjalinkan hubungan dengan komuniti bola sepak di Terengganu," katanya.

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 8:16pm
d