arena

'Kenapa City tak ikat De Jong?'

MANCHESTER, England: Pep Guardiola mendedahkan Manchester City terpaksa menarik diri daripada perlumbaan mendapatkan bintang tengah Ajax, Frenkie de Jong kerana tidak mahu memecah struktur gaji yang boleh mencetuskan kemarahan pemain lain.

De Jong akan menyertai Barcelona Julai depan dengan yuran perpindahan kira-kira £74 juta (RM402 juta) dan pemain muda Belanda itu ditawarkan gaji £300,000 (RM1.63 juta) seminggu.

Tawaran gaji sebegitu akan meletakkan pemain berusia 21 tahun itu sebagai pemain menerima bayaran tertinggi dalam struktur gaji City, namun Guardiola enggan ia berlaku apatah lagi De Jong baharu saja berada di permulaan kariernya.

“Kami mahu mengekalkan suasana harmoni di bilik persalinan terutama dari segi struktur gaji pemain,” katanya kepada pemberita.

“Apabila anda berdepan situasi tidak seimbang dari segi struktur gaji, pastinya ia akan membawa bencana terhadap keharmonian bilik persalinan.

“Apa yang bagusnya kami di City sentiasa memastikan ia terus kekal seimbang. Secara realitinya bukan satu atau dua pasukan membayar gaji yang banyak kepada pemain.

“Sebenarnya, banyak lagi pasukan lain. Sebelum ini hanya PSG dan Manchester City sering dikaitkan dengan spekulasi menawarkan gaji tinggi. Tapi ia sudah berakhir.

“Semua pasukan kini mampu menawarkan yuran perpindahan dan pendapatan lumayan dalam mendapatkan pemain. Ia bukan saja di England tapi juga di Itali, Sepanyol dan Perancis.

“Kadangkala kami tidak mampu bertarung dengan situasi itu. Kami perlu pantas dan tidak cepat menggelabah. Akhirnya kami mahu pemain yang ingin datang ke sini.”

Meskipun mendapat sokongan hasil kekayaan dimiliki pemilik kelab iaitu keluarga diraja Abu Dhabi, Guardiola beberapa kali pernah mengadu berhubung kegagalan pasukannya untuk bertarung dengan kelab besar seperti Barcelona dan Real Madrid, namun beliau terus mempertahankan prinsip City.

“Sudah banyak kali saya menyatakan sukar untuk kami bertarung dengan Barcelona dan Real,” katanya.

Malah ketika dua jendela perpindahan terakhir menyaksikan City hanya berjaya menyambar seorang pemain berkualiti masing-masing Aymeric Laporte dari Athletic Bilbao dengan harga £57 juta (RM310 juta) 12 bulan lalu diikuti Riyad Mahrez £60 juta (RM326 juta) pada musim panas lalu. – AFP

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 10:38am
d