arena

Pochettino 'pusing' pemain Spurs

Oleh AFP

LONDON: Mauricio Pochettino mengakui masalah kecederaan meruncing yang dihadapi Tottenham boleh memaksa kelab itu menyertai jendela perpindahan buat kali pertama dalam tempoh setahun.

Pengurus Tottenham itu sebelum ini menjangkakan kelab itu tidak akan melakukan sebarang pembelian berikutan bajet mereka terpaksa digunakan bagi menampung kos stadium baharu yang mengalami penangguhan.

Ia bermakna kelab utara London itu mengharungi dua tempoh jendela perpindahan berturut-turut tanpa pemain baharu dengan pemain terakhir dibawa masuk adalah Lucas Moura pada Januari 2018.

Begitupun, Tottenham yang akan bertemu Crystal Palace pada pusingan keempat Piala FA, esok digegarkan dengan kecederaan penyerang Harry Kane dan Dele Alli dengan kedua-dua bintang England itu dijangka tersisih hingga Mac depan.

Bagi menambah kekecewaan Pochettino, Moussa Sissoko dan Ben Davies turut berdepan kecederaan ketika Tottenham disingkirkan Chelsea pada separuh akhir Piala Liga, awal pagi semalam.

“Kami akan lihat. Masih ada enam hari lagi. Kami sedang berusaha. Kami mempunyai beberapa pilihan,” kata Pochettino ketika ditanya peluang kelab itu untuk menandatangani pemain baharu sebelum perpindahan musim sejuk ditutup, Khamis ini.

“Kami akan lihat sama ada kami masih mampu untuk berjuang, tapi pada masa sama sudah tentu kami mempunyai skuad.”

Pochettino dikatakan menimbang untuk mendapatkan pemain dari England dan luar negara tetapi tidak mahu mengulangi situasi yang menyaksikan pertahanannya, Juan Foyth tidak dibenarkan beraksi di Liga Juara-Juara kerana kuota bagi pemain tempatan tidak mencukupi.

“Kini kami mungkin mempunyai satu kekosongan kerana Mousa Dembele sudah meninggalkan kami,” katanya. “Tapi kami juga perlu berhati-hati dengan Liga Juara-Juara. Saya fikir kami tidak akan melakukannya, jika pemain itu bukan pemain Inggeris kerana kami tidak mempunyai ruang jadi penting untuk kami membuat keputusan dengan bijak.

“Tapi kami sentiasa berharap untuk menambah kualiti dan cuba meningkatkan kekuatan pasukan. Kami terbuka (terhadap perpindahan) seperti biasa. Pilihan yang berbeza. Di England dan di luar England.”

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 11:01am
d