arena

Corak 'klasik' United menjadi

Oleh Reuters

LONDON: Ole Gunnar Solskjaer bangga dengan pendekatan ‘klasik’ menyerang yang diperagakan Manchester United ketika menjinakkan Arsenal 3-1 pada pertembungan menarik pusingan keempat Piala FA Inggeris, awal pagi tadi.

Jaringan babak pertama oleh Alexis Sanchez dan Jesse Lingard meletakkan United selesa di depan dan Pierre-Emerick Aubameyang merapatkan jurang buat Gunners, sebelum jaringan lewat Anthony Martial mengesahkan kemenangan.

Ia turut menyaksikan Solskjaer kini menang semua lapan perlawanan pertama sejak mengambil alih United daripada Jose Mourinho – mengatasi rekod pengurus legenda Matt Busby.

Ketika statistik menunjukkan beliau sebagai pengurus yang membuat permulaan terbaik di United, namun sebenarnya cara kemenangan dicapai United dilihat lebih mencuri tumpuan.

United sudah menghasilkan 22 gol di bawah kendalian Solskjaer dan menemui semula corak permainan menyerang seperti yang ditampilkan skuad era kegemilangan Alex Ferguson dengan ketika itu Solskjaer bertindak sebagai penggempur.

Malah, pada aksi pagi tadi kemampuan taktikal pengendali dari Norway itu makin terserlah apabila beliau tahu waktu mana paling sesuai untuk mengubah corak pilihan serangannya.

Martial dan Marcus Rashford tampak memukau sejak ketibaan Solskjaer, namun kedua-dua mereka ditinggalkan di bangku simpanan sebaliknya bekas penyerang Arsenal, Sanchez dan Romelu Lukaku menjadi pilihan.

Lukaku, khususnya amat cemerlang, apabila beberapa kali gagal dibendung pertahanan Arsenal, manakala Sanchez menutup mulut bekas penyokongnya dengan jaringan pembukaan yang menarik hasil umpanan Lukaku.

Lukaku yang juga bekas penyerang Everton turut melorongkan bola untuk jaringan kedua Lingard.

“Saya berdepan situasi (pemilihan pemain) memeningkan sejak tiba kerana skuad ini mempunyai ramai pemain yang bagus,” kata Solskjaer.

“Hari ini kami kelihatan seperti satu pasukan yang tersusun dan berstruktur. Kami bekerja keras ketika bertahan dan melaksanakan serangan kilat.

“Serangan kilat adalah gaya klasik Manchester United apabila bertemu Arsenal dengan Wayne Rooney, Cristiano Ronaldo dan Park Ji Sung banyak menghasilkan gol sebelum ini menggunakan pendekatan sama.

“Ia membuktikan kami makin melangkah ke depan. Di Tottenham beberapa minggu lalu kami bertahan dan (penjaga gol) David de Gea menyelamatkan kami, tapi hari ini struktur kami jauh lebih baik.”

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 12:43pm
d