arena

Sathia bidas pengurusan lama FAS

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: B Sathianathan menempelak pengurusan lama Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) apabila skuad kendaliannya musim ini menerima tempias 'buruk' ekoran kegagalan mereka berfungsi dengan sebaiknya sebelum ini.

Jelas pengendali Red Giants itu, masalah kemudahan yang ada ketika ini cukup menyedihkan buat pasukan yang memiliki sejarah panjang cukup gemilang dalam arena bola sepak tanah air.

Katanya, ketiadaan pusat latihan yang tetap, bilik persalinan yang sempurna dan halangan untuk berlatih di Stadium Shah Alam sebagai venue utama skuad Merah Kuning musim ini, sesuatu yang tidak boleh diterima oleh Sathianathan dan pemainnya.

"Selangor pasukan yang paling berjaya di negara ini sejak 40 tahun lalu masih lagi tidak ada pusat latihan sendiri. Bilik persalinan latihan pun kadang-kadang satu kena kongsi ramai dan ia sungguh menyedihkan buat pasukan seperti Selangor.

"Cuba bayangkan apabila ada pemain import datang ke Selangor dan dengar perkara hebat-hebat pasal pencapaian pasukan, tapi bila tengok bilik persalinan latihan mesti dia pun tak jadi nak main.

"Belum lagi cerita kalau saya nak berlatih di Stadium Shah Alam. Mereka (pengurusan stadium) kata sedang melakukan penambahbaikan di stadium, tolonglah liga (Liga Super) dah nak mula takkan baharu sekarang nak buat semua itu.

"Bila saya cakap pasal JDT (Johor Darul Ta'zim) orang cakap saya bodek dan macam-macam. Padahal memang betul kemudahan di sana memang terbaik sebab itu ramai pemain mahu ke sana.

"Ini semua silap pengurusan lama yang menyebabkan kami terpaksa menempuh segala masalah ini. Tapi saya percaya dengan pengurusan baharu di bawah kepimpinan Raja Muda Selangor, semuanya akan diperbetulkan secara berperingkat," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Jersi Utama dan kedua pasukan Selangor, di sini, hari ini.

Skuad Red Giants kini dalam proses revolusi selepas Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah mengambil alih kepimpinan FAS pada Julai lalu.

Untuk memastikan juara 33 Piala Malaysia itu muncul pencabar terkuat musim ini, FAS mengikat beberapa nama besar bagi memperkuatkan pasukan antaranya adalah Wan Zack Haikal Wan Noor, Abdul Latiff Suhaimi dan Mohd Faiz Mohd Nasir selain mengekalkan Mohd Amri Yahyah dan penjaring terbanyak musim lalu, Rufino Segovia.

Menurut bekas pengendali Harimau Malaya itu lagi, beliau mengharapkan sokongan padu penyokong skuad Merah Kuning untuk memenuhi stadium bagi menaikkan motivasi anak buahnya.

"Dulu masa saya jadi jurulatih di ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan FELDA United, kerja saya agak sukar kerana sentiasa perlu naikkan motivasi pemain.

"Pengalaman saya di Kelantan dulu, pemain cukup bersemangat dan motivasi tinggi kerana mendapat sokongan penyokong yang ramai. Saya percaya di Selangor akan berlaku perkara sama, dan pemain akan bermotivasi apabila penyokong memenuhi stadium," katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 4:32pm
d