arena

Lang Merah lancar jersi baharu musim 2019

Oleh Izzali Ismail

ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) memperkenalkan jersi baharu skuad Liga Super Kedah musim 2019 dalam majlis pelancaran di pekarangan Stadium Darul Aman, petang tadi.

KFA turut mengumumkan senarai penaja utama terdiri daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Syarikat Air Darul Aman (SADA), Perbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated MBI) dan juga produk jenama sukan Lotto yang menaja jersi dan peralatan sukan.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Besar Kedah merangkap Presiden KFA Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sekali gus menamatkan kerinduan peminat yang sudah tidak sabar menanti penjelmaan jersi baharu musim 2019 ini.

Menurut Mukhriz yang juga merupakan penyokong tegar skuad Lang Merah, beliau begitu teruja melihat Kedah beraksi pada musim ini.

"Kita telah mempersiapkan pasukan padu dengan barisan pemain yang diyakini mampu membawa cabaran Kedah hingga ke puncak kecemerlangan dan pasukan ini juga mempamerkan corak permainan memberangsangkan dalam perlawanan pramusim lalu.

"Saya percaya semua ini hasil dedikasi dan kesungguhan setiap individu dalam KFA bermula daripada peringkat tertinggi hingga pengurusan. Barisan kejurulatihan diketuai Aidil Sharin Sahak disertai pemain dan pegawai mempunyai impian satu iaitu mahu melihat Kedah bangkit sebagai juara,” katanya.

Pada majlis itu juga, KFA mengadakan jualan jersi Kedah atau dipanggil 'Kit Jersi' 2019 dan juga melancarkan jualan pas bermusim Kedah FA 2019 bagi para penyokong yang mengikutinya setiap tahun.

KFA juga mengatur perlawanan persahabatan menentang Home United dari Singapura malam ini di Stadium Darul Aman.

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 7:36pm
d