arena

Peng Soon-Liu Ying akui perlukan jurulatih

Oleh Fabian Peter

 

KUALA LUMPUR: Selepas mengharungi tiga perlawanan, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mula merasakan mereka memerlukan khidmat jurulatih.

Pasangan beregu campuran negara itu tersingkir di separuh akhir Masters Indonesia selepas tumpas straight set 22-20, 21-11 kepada gandingan tuan rumah, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir.

Mereka yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bulan lalu, bermula dengan baik musim ini selepas merangkul gelaran Masters Thailand.

Bagaimanapun, mereka mengakui bahawa ia akan memberi sedikit kelebihan andai ada individu yang membantu dari luar gelanggang ketika beraksi.

"Kami sedar bahawa pentingnya untuk mempunyai jurulatih kerana kami akan berada di dalam gelanggang, ada sesetengah perkara kami tidak dapat melihat dan jika kami tidak pasti, kami kerap melakukan kesilapan.

"Pada aksi menentang Tontowi-Liliyana, kami bermain baik pada set pertama tapi beberapa kesilapan memberi peluang kepada pemain lawan. Aksi set kedua pula, kami cuba untuk mengikut rentak mereka dan ia akan lebih positf jika kami mempunyai jurulatih. 

"Bagaimanapun, sejak menjadi pemain profesional, kami harus sedar bahawa bajet kami sangat terhad. Itu masalah yang kami sedang lalui sekarang," kata Liu Ying.

Ketika Masters Malaysia minggu lalu, kedua-dua pasangan negara termasuk Goh V Shem-Tan Wee Kiong, dibantu bekas pemain, Lee Wan Wah dan Chew Choon Eng yang bertindak selaku jurulatih sementara.

Sementara itu, Tontowi-Liliyana akan berdepan pasangan nombor satu dunia, Zheng Siwei-Huang Yaqiong dari China untuk merebut gelaran juara Masters Indonesia esok.

 

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 8:07pm
d