arena

Naomi kini nombor satu dunia

Oleh AFP

MELBOURNE: Naomi Osaka dari Jepun mengatasi pilihan kelapan dari Republik Czech, Petra Kvitova 7-6 (7/2), 5-7, 6-4 untuk memenangi mahkota Terbuka Australia sulungnya dan bergelar pemain nombor satu dunia.

Pilihan keempat dan juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) itu merangkul gelaran Grand Slam kedua berturut-turutnya selepas mengungguli pertarungan selama 2 jam 27 minit itu.

Kemenangan itu turut menjadikan Osaka sebagai pemain Asia pertama, lelaki atau wanita, menduduki ranking teratas dunia, selepas memintas Simona Halep dari Romania.

Kejuaraan di Melbourne Park hari ini amat berbeza berbanding gelaran Slam sulungnya di Flushing Meadows tahun lalu, di mana dia menangis selepas diejek oleh penonton berikutan kekalahan bintang tuan rumah, Serena Williams.

Kali ini, hanya air mata kegembiraan menemani pemain 21 tahun itu yang turut menjadi pemain wanita paling muda memenangi kejuaraan major berturut-turut sejak Martina Hingis pada tahun 1998, serta pemain nombor satu dunia termuda sejak Caroline Wozniacki pada tahun 2010.

“Tahniah Petra, saya memang ingin bermain dengan anda, banyak yang sudah anda lalui. Saya amat berbangga dapat bermain dengan anda,” kata Osaka.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya, saya tidak rasa dapat mengharungi minggu ini tanpa anda. Di belakang setiap pemain tenis adalah pasukan yang hebat.”

 

Bagi Kvitova pula, kepulangannya ke pentas final major selepas insiden rompakan yang menyebabkan tangan kirinya cedera pada Disember 2016, cukup bermakna buat dirinya.

“Ia sukar dipercayai saya dapat beraksi di final Grand Slam sekali lagi. Ia adalah final yang hebat, tahniah Naomi,” kata Kvitova.

“Saya suka bermain di sini dan saya pasti akan kembali.”

 

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 9:07pm
d