arena

Dortmund kukuh kedudukan

Oleh AFP

DORTMUND, Jerman: Marco Reus mencuri tumpuan ketika Borussia Dortmund mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Bundesliga selepas membelasah Hanover 5-1, awal pagi tadi.

Kemenangan itu membolehkan Dortmund kini mempunyai kelebihan sembilan mata di depan pencabar terdekat, Borussia Monchengladbach dan Bayern Munich.

Dengan Bayern hanya akan turun beraksi menentang Stuttgart malam ini, Dortmund memanfaatkan peluang bagi menewaskan penghuni tangga kedua tercorot liga, Hanover dengan Reus mempamerkan prestasi cemerlang selepas kembali beraksi susulan kecederaan buku lali.

“Kami mengambil sedikit masa untuk menjarakkan kedudukan tapi selepas mendahului 2-0, ia menjadi lebih mudah,” kata jurulatih Dortmund, Lucien Favre selepas menyaksikan anak buahnya meledak tiga gol dalam tempoh tujuh minit.

Achraf Hakimi yang dipinjamkan dari Real Madrid, Reus, Mario Goetze dan Raphael Guerreiro masing-masing menjaringkan gol buat Dortmund bagi meletakkan pasukan itu di landasan tepat untuk meraih kejuaraan Bundesliga buat kali pertama sejak 2012.

Kekalahan itu mencetus tekanan buat pengendali Hanover, Andre Breitenreiter tetapi skuad bimbingannya menunjukkan semangat juang tinggi apabila Marvin Bakalorz menjaringkan gol sebelum Witsel melengkapkan kemenangan Dortmund dengan gol kelima minit ke-90.

“Terpulang kepada pengurusan untuk menentukan ke mana kami selepas ini,” kata Breitenreiter yang membantu Hanover dinaikkan pangkat beraksi dalam saingan Bundesliga musim lalu.

“Ia bukan mengenai saya – ia mengenai bagaimana untuk kami kekal.”

Disiarkan pada: January 27, 2019 @ 11:02am
d