arena

Kraljevic kembali selepas 25 tahun berkelana

Oleh Attirmidzie Rahman

 

KOTA BHARU: Selepas 25 tahun meninggalkan Kelantan, Marko Kraljevic sangat teruja apabila diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu Kelantan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan membuka tirai 2 Februari ini.

Kraljevic yang juga bekas pemain import Kelantan, berkata beliau gembira kembali ke pangkuan pasukan ini sebagai jurulatih.

"Sukar digambarkan perasaan saya selepas meninggalkan pasukan ini selama 25 tahun kini kembali mencurahkan tenaga melonjakkan nama The Red Warriors (TRW) musim ini.

"Saya pernah bergandingan dengan penyerang berbisa Kelantan, Hashim Mustapha dari 1991 hingga 1994. 

"Saya kena akui kemuncak karier saya sebagai pemain bermain bersama Kelantan sekali gus kembali bersama rakan-rakan lama dan peminat Kelantan yang cukup hebat," katanya ketika ditemui media selepas majlis Pelancaran Jersi Pasukan Liga Super Kelantan Musim 2019/2020 di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad Ke IV, malam ini.

Mengulas lanjut, Kraljevic mengakui berdepan tugas berat mengembalikan TRW menjadi pencabar Liga Perdana malah TRW tidak sepatutnya beraksi dalam liga kedua sebaliknya perlu berusaha gigih kembali ke Liga Super.

"Saya belum sempat bertemu dengan pemain. Saya hanya melihat aksi mereka dalam entri laman sosial sahaja," katanya.

Untuk rekod, Kraljevic dipilih menggantikan Yusri Che Lah sebagai ketua jurulatih apabila bekas pengendali kelahiran Perlis itu memilih untuk bersama skuad Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super, musim ini.

Kraljevic yang juga bekas pengendali Balestier Khalsa FC dalam Liga Singapura, mengakui terpikat dengan kenangan indah selama empat tahun menabur keringat bersama Kelantan sambil mengakui tugas berat mengemudi TRW kembali menjadi pencabar kejuaraan liga.

Disiarkan pada: January 27, 2019 @ 10:02pm
d