arena

Gelaran ke-10 Rose

Oleh AFP

CALIFORNIA: Jaguh golf nombor satu dunia, Justin Rose menyifatkan kejayaan bergelar juara Terbuka Farmer Insurance di San Diego, pagi tadi sebagai ‘kemenangan yang memerlukan fokus yang amat tinggi’, selepas mencatat tiga bawah par 69, untuk menewaskan Scott Adam dengan kelebihan dua pukulan. 

Kemenangan terbaru itu, menambah koleksi kemenangan Jelajah PGA Rose kepada 10, untuk menyamai pencapaian Sergio Garcia dan satu melebihi Nick Faldo serta Seve Ballesteros. 

Bintang Ireland Utara, Rory McIlroy (14) menjadi satu-satunya pemain Eropah yang banyak menjuarai gelaran Jelajah PGA sejak 1945. 

“Bunyi angka dua digit kedengaran menarik. Tetapi ia bukan mudah untuk menang,” kata Rose kepada Golf Channel.

“Apabila anda mengetepikan saingan pemain hebat di atas lapangan yang luar biasa, ia nyata satu kepuasan bagi pemain. Ia adalah kemenangan yang memerlukan fokus yang amat tinggi.” 

Rose memulakan hari terakhir dengan kelebihan tiga pukulan, namun bergelut di awal permainan selepas merakam tiga bogey. 

“Pada enam lubang pertama, saya banyak terdedah kepada kesilapan sehingga menyebabkan saya hanya mempunyai kelebihan satu pukulan di depan,” kata Rose. 

“Sebelum ini saya mungkin akan sedikit gugup dan mula menggigil jika mengalami permulaan seperti ini, tetapi tidak pada hari ini.

“Saya cuba memikirkan semula situasi pada lubang ketujuh, tetapi secara keseluruhannya saya beraksi baik sepanjang minggu. Dan, selepas itu semuanya kembali normal.”

Rose bangkit daripada permulaan buruk itu untuk merakam lima birdie pada baki saingan, dan berjaya menahan asakan pemain Australia, Scott yang turut menutup saingan dengan empat birdie berturut-turut untuk mencatat 68 pukulan.

Pemain Jepun, Hideki Matsuyama (67) dan pemain Amerika Syarikat, Talor Gooch (68) berkongsi bersama kedudukan ketiga dengan lima pukulan di belakang Rose. 

Tiger Woods pula yang mencatat 67 pukulan di hari terakhir sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-20 dengan 10 bawah par, dalam aksi sulungnya tahun ini.  

 

Disiarkan pada: January 28, 2019 @ 12:24pm
d