arena

Perisic berang Inter 'tarik tali'

Oleh Agensi

LONDON: Selepas usaha Ivan Perisic untuk menyertai Arsenal secara pinjaman menemui jalan buntu, pemain itu kini mendesak Inter Milan supaya terus melepaskannya secara tetap, kerana jendela perpindahan pemain Januari akan ditutup ditutup Khamis ini.

Arsenal menawarkan 3.5 juta pound (RM16.4 juta) untuk yuran perpindahan, diikuti bayaran susulan sebanyak 34.5 pound (RM161.9 juta) pada musim panas, namun Inter mahukan urusan perpindahan secara tetap.

Pengarah Inter, Guiseppe Marotta berkata: “Perisic meminta untuk meninggalkan kelab, tetapi masih belum ada tawaran untuknya. Sama-sama kita nantikan untuk tempoh beberapa hari lagi. 

“Kami memahami permintaan Perisic yang memohon untuk meninggalkan kelab. Kami akan cuba untuk memenuhi permintaannya itu dan menghormati nilai dirinya.” 

Perisic yang bakal berusia 30 tahun pada 2 Februari ini, hampir menyertai Manchester United pada musim perpindahan 2017, tetapi dia mengambil keputusan untuk kekal di Inter.

Kini, Inter bersedia untuk melepaskan pemain Croatia itu selepas dia menempuh musim yang mengecewakan setakat ini.

Unai Emery pula mahukan kelab segera menandatangani pemain berusia 29 tahun itu untuk baki musim ini dengan pilihan mendapatkannya secara kekal pada musim panas. 

Perisic sudah menandatangani kontrak selama lima tahun pada September 2017, yang menyaksikannya bersama kelab itu sehingga 2022. 

Emery pada awal bulan ini mengakui kelabnya hanya dapat menawarkan kontrak secara pinjaman.

Kelab London itu sebelum ini dilihat sebagai antara yang mempunyai sumber kewangan kukuh, namun Emery mendedahkan: “Kami tidak dapat menandatanganinya secara kekal. Kami hanya boleh menawarkan kontrak pinjaman kepada pemain.”  

 

Disiarkan pada: January 28, 2019 @ 12:56pm
d