arena

Nadal kekal positif, enggan mengalah

Oleh AFP

MELBOURNE: Rafael Nadal kekal positif walaupun dia dibelasah Novak Djokovic pada aksi final Terbuka Australia semalam.

Pemain pilihan kedua dari Sepanyol itu kembali beraksi selepas pulih kecederaan dan mempamerkan prestasi mantap tanpa kehilangan satu set sehinggalah bertemu musuh ketatnya, Nojak Djokovic di Rod Laver Arena.

Bagaimanapun, dia tiada jawapan kepada pukulan mengelirukan dan servis kencang Djokovic pada aksi final dan tewas 6-3, 6-2, 6-3 di Melbourne Park.

Nadal berkata, dia masih belum mencapai tahap terbaik selepas mengalami kecederaan pada 2018.

"Cara dia bermain memang hebat, tiada keraguan tetapi pada masa sama mungkin tahap fizikal saya belum bersedia menghadapinya,” kata Nadal.

"Lima bulan tanpa kejohanan dan menghadapi cabaran besar depan mata, saya perlukan sesuatu tetapi saya gagal mendapatkannya hari ini (semalam).

"Itu yang saya rasakan untuk bertanding pada tahap sangat tinggi ini.”

Walaupun begitu, Nadal tetap puas mara ke final walaupun kecederaan menghalangnya menyertai beberapa siri kejohanan selepas Terbuka Amerika Syarikat.

Nadal tidak menyertai jelajah utama selepas mengalami kecederaan lutut ketika menentang Juan Martin del Potro pada separuh akhir Terbuka AS pada September lalu.

Dia hanya beraksi pada pusingan pembukaan perlawanan pertunjukan di Abu Dhabi untuk memulakan musim baru tetapi tewas kepada pemain Afrika Selatan Kevin Anderson dan menarik diri daripada kejohanan Antarabangsa Brisbane.

Dia menyasarkan kejohanan di Acapulco pada penghujung Februari dan Indian Wells pada awal Mac.

"Kemudian kita tengok situasi selepas itu sama ada saya teruskan atau berehat sebelum beraksi di atas tanah liat,” katanya.

Disiarkan pada: January 28, 2019 @ 4:16pm
d