arena

Pasukan MotoGP negara dirasmi

Oleh Fadhli Ishak dan Sukhairi Thani

KUALA LUMPUR: Pasukan MotoGP pertama negara, PETRONAS Yamaha Sepang Racing diperkenalkan hari ini dengan kedua-dua pelumba - Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo diberikan sasaran realistik pada tahun pertama mereka dalam kelas perdana di Kejuaraan Motosikal Dunia itu.

Morbidelli yang muncul selaku pelumba muka baharu (rookie) terbaik tahun lalu menjadi tunjang utama pasukan memburu sasaran berada dalam kelompok enam terbaik bagi musim ini.

Pelumba dari Itali itu dibekalkan jentera Yamaha YZR-M1 (spesifikasi) 'Spek A' yang sama digunakan Valentino Rossi dan Maverick Vinales manakala Quartararo menggunakan 'Spek B+' yang kemampuannya melebihi yang dibekalkan Yamaha kepada Johann Zarco musim lalu.

"Kami dapat jentera sama dengan Rossi dan Maverick," kata Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Datuk Razlan Razali merangkap prinsipal pasukan dalam sidang media, hari ini.

"Apa yang kurang hanyalah pengalaman Morbidelli di atas jentera Yamaha tetapi berdasarkan ujian tahun lalu ia amat memberangsangkan dan harap dia dapat sambung usaha itu di Sepang nanti.

"Itulah yang kita harap supaya dia dapat melakukan yang terbaik dan mencabar pelumba lain terutama dari pasukan pengeluar kita (Yamaha)."

Quartararo dari Perancis yang bakal memburu gelaran rookie tahun ini diharap dapat menunjukkan prestasi terbaik apatah lagi Yamaha membekalkan 'Spek B' buat pelumba muda berusia 19 tahun itu.

"Sudah tentu Fabio adalah rookie.. saya dapat maklumat, Yamaha akan beri spek bawah daripada Spek A iaitu B+. 

"Mereka (Yamaha) akan beri (spek) sedikit tinggi daripada (perjanjian) awal yang diberikan. Jadi harap dengan jentera ini dia dapat (gelaran) rookie itu.

"Itu sasaran untuk motoGP, walaupun tahun pertama tetapi dengan kepakaran sedia ada dalam pasukan dan sokongan daripada Yamaha dan bakat yang ada, kami yakin untuk mencapai sasaran itu," kata Razlan.

Dalam pada itu, pasukan turut memperkenalkan pasukan PETRONAS Sprinta Racing yang akan menggalas cabaran dalam kelas Moto2 dan Moto3.

Pemenang  Grand Prix (GP) Argentina dan Jerman dalam kelas Moto3 pada musim 2016, Khairul Idham Pawi muncul pelumba tunggal negara untuk kelas pertengahan itu manakala Ayumu Sasaki dari Jepun dan John McPhee (Scotland) mewakili pasukan dalam kelas Moto3.

Dalam sidang media itu juga, Razlan berharap Khairul Idham atau lebih dikenali sebagai SuperKIP dapat menyesuaikan diri dengan enjin baharu yang digunakan pada saingan kali ini, Triumph.

"Bagi masa untuk Khairul Idham sesuaikan diri dengan pasukan baharu, enjin baharu Triumph ini. Namun sasaran ditetapkan adalah berada dalam kelompok 15 terbaik," kata Razlan  sambil menjelaskan pasukan meletakkan sasaran berada dalam kelompok lima terbaik untuk Moto3.

Disiarkan pada: January 28, 2019 @ 7:01pm
d