arena

'Maradona China' perkuat Espanyol

Oleh AFP

SHANGHAI: Penyerang prolifik Wu Lei yang dianggap ‘Maradona China’ mengikat kontrak dengan kelab La Liga, Espanyol, menurut jurucakap kedua-dua kelab, hari ini.

Pemain berusia 27 tahun itu muncul penjaring terbanyak Liga Super China musim lalu dengan 27 gol yang membawa kepada kejuaraan liga pertama SIPG.

"Pemain itu akan memakai jersi biru putih dengan nombor 24,” menurut jurucakap Espanyol yang kini menduduki kelompok bawahan La Liga.

Bagaimanapun, tidak dijelaskan lebih lanjut mengenai yuran perpindahan pemain itu.

"SIPG tetap mengikuti satu prinsipal asas, selagi perpindahan itu memberi faedah kepada karier pemain dan pembangunan bola sepak China, kelab akan memberi sokongan,” kata SIPG dalam kenyataanya.

Perpindahan Wu, pemain antarabangsa China itu hangat diperkatakan sejak beberapa hari lalu.

Wu yang boleh beraksi di bahagian tengah atau lebih terbuka sebelum ini dikaitkan dengan Wolverhampton Wanderers dalam Liga Perdana Inggeris yang turut dimiliki ahli perniagaan berbangsa China.

Tetapi Espanyol yang berpangkalan di Barcelona lebih pantas menyambar peluang menandatangani pemain itu yang menghabiskan kariernya di SIPG.

Dia lebih menyerlah berbanding rakan sepasukan di SIPG seperti Hulk dan penyerang Nigeria, Odion Ighalo apabila muncul penjaring terbanyak liga dan turut dipilih pemain terbaik tahunan.

Wu dibandingkan dengan legenda Argentina, Diego Maradona oleh jurulatih yang mencungkil bakat Wu dan kini dia berpeluang membuktikannya di Sepanyol khususnya melonjakkan kembali kelab yang kini sedang bergelut dalam liga.

Espanyol tewas 4-2 di tempat sendiri kepada Real Madrid untuk menduduki tempat ke-15.

Wu dan China tersingkir di tangan Iran 3-0 pada peringkat suku akhir Piala Asia.

Disiarkan pada: January 28, 2019 @ 7:13pm
d