arena

Tocang percaya kudrat Dickson

Oleh Asrol Awang

KUANTAN: Kemunculan semula penyerang Nigeria, Dickson Nwakaeme bagi menguatkan skuad Pahang dalam saingan Liga Malaysia mengimbau nostalgia terindah buat pemain Tok Gajah, Mohd Faisal Rosli.

Ini kerana Mohd Faisal atau Tocang pernah bersama Dickson selama dua musim pada 2014 dan 2015 ketika rakan sepasukan lain sudah memilih haluan bersama pasukan berbeza.

Bagi pemain pertahanan itu, perasaan teruja tidak dapat disembunyikan kerana Dickson antara nadi utama skuad Tok Gajah beroleh kejayaan terutama pada musim 2014 yang menyaksikan Pahang menjulang Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih.

"Walaupun saya bukan pemain utama pasukan ketika itu, kehadiran Dickson bukan sahaja menggembirakan pasukan, malah peminat Pahang yang banyak memberikan suntikan semangat kepada kami.

"Sebaik dia kembali menyarung jersi Pahang musim ini, saya gembira dan percaya dia mampu untuk menambah ketajaman jentera serangan Pahang.

 "Biarpun dibarisi pemain baharu, persefahaman dan keserasian antara kami diyakini mampu diterjemahkan sebaik saingan Liga Super bermula Jumaat ini," katanya.

Selain Mohd Faisal yang bersama Dickson pada 2014 dan 2015, seorang lagi pemain pertahanan iaitu Hazri Rozali turut bersamanya pada musim sama manakala kapten pasukan, Matthew Davies dan Nor Azam Azih pernah bermain dengan bekas pemain Angers SCO II itu pada 2015.

Ditanya persediaan Pahang bertemu Kuala Lumpur di Stadium Bolasepak KLFA, Cheras Jumaat ini, Mohd Faisal berkata, skuad itu akan memastikan tiga mata menjadi milik Pahang.

"Kemenangan pada perlawanan pertama begitu penting kerana ia akan menjadi penyuntik semangat untuk mencapai misi meraih kejayaan musim ini.

"Kami juga mengharapkan sokongan padu daripada peminat Pahang untuk turut sama memberi semangat kepada skuad Tok Gajah seperti yang mereka lakukan pada musim sebelumnya," katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2019 @ 5:06pm
d