arena

Robben terima lamaran FC Tokyo

Oleh AFP

TOKYO: Pemain sayap Belanda Arjen Robben sedia menyertai FC Tokyo dalam Liga J selepas meninggalkan gergasi Jerman Bayern Munich, menurut laporan media tempatan, hari ini.

Pemain berusia 35 tahun itu mengesahkan dia akan meninggalkan Bayern pada penghujung musim ini selepas meraih kejayaan cemerlang dengan tujuh trofi Bundesliga dan 100 kap bersama skuad Belanda.

Jika benar, ia adalah perpindahan terkini membabitkan pemain berprofil tinggi ke liga Jepun selepas bintang Piala Dunia Sepanyol Andres Iniesta dan penyerang Jerman, Lukas Podolski menyertai Vissel Kobe.

Rakan sepasukan Iniesta yang menjulang Piala Dunia, Fernando Torres turut beraksi di Liga J bersama kelab Sagan Tosu.

Akhbar The Sports Nippon berkata, peluang Robben beraksi di Jepun adalah cerah.

"Keluarga Robben yang dipercayai mempunyai pengaruh besar ke atas keputusannya tampak positif dengan hasratnya ke Jepun,” katanya.

"Beberapa kelab Jepun turut berminat namun FC Tokyo makin hampir menandatanganinya,” kata akhbar itu lagi.

Jurucakap kelab itu pula ketika dihubungi AFP enggan memberi sebaran komen.

FC Tokyo menduduki tempat keenam dalam Liga J tahun lalu.

Disiarkan pada: January 29, 2019 @ 5:48pm
d